Friday, August 28, 2026
HomeHIBURAN‘Saya Saksi, Mama Tak Minta Apa-Apa Bila Istana Tanya’ - Farah Ahmad

‘Saya Saksi, Mama Tak Minta Apa-Apa Bila Istana Tanya’ – Farah Ahmad

PETALING JAYA – Enam tahun menyimpan rahsia, pelakon Farah Ahmad mendedahkan keikhlasan hati ibu mentuanya, Datuk Fauziah Nawi yang tidak meminta sebarang habuan ketika dipanggil menghadap pihak istana bagi menyuarakan nasib penggiat seni pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar tahun 2020.

Farah berkata, ketika itu aktres veteran terkenal itu berdepan kecaman segelintir penggiat seni selepas memuat naik status di Facebook mengenai hasratnya untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong bagi menyampaikan keluhan penggiat seni yang terjejas akibat tiada pekerjaan.

“Ketika itu mama dikecam beberapa orang industri hanya kerana status Facebook mengenai hasrat nak jumpa Yang di-Pertuan Agong untuk meluahkan masalah orang seni yang tiada kerja ketika serangan Covid-19.

“Saya cakap, biarkanlah mama. Allah ada. Nak dijadikan cerita, teguhnya kun fayakun, esok mama beritahu orang istana telefon dan Tuanku suruh datang ke istana,” katanya menerusi perkongsian di Threads.

Menurut Farah, pertemuan tersebut pada awalnya hanya membabitkan mereka berdua, namun pihak istana memberi ruang untuk Fauziah membawa beberapa wakil industri seni bagi menyuarakan masalah yang dihadapi.

Katanya, mereka mencadangkan agar wakil daripada pelbagai cabang seni hadir termasuk penerbit, penyanyi, pengiklanan, pengarah, jurusolek, produksi, acara, penari dan teater.

“Kami menyuarakan perihal masalah dan keperitan yang dihadapi serta keadaan sebenar yang diharungi anak-anak seni pada ketika itu.

“Pelbagai pandangan dan cadangan diberi agar orang seni dapat bekerja mengikut SOP untuk mencari rezeki demi kelangsungan hidup.

“Kami bukan menunggu duit dihulur tanpa usaha. Bagilah kami bekerja untuk kami berusaha mencari duit, kata mama,” ujarnya.

Namun, perkara yang paling melekat dalam ingatan Farah berlaku sebelum mereka berdua meninggalkan istana adalah Fauziah kemudian dipanggil masuk ke sebuah pejabat persendirian dan ditanya apa yang dimahukannya secara peribadi.

“Ditanya kepada mama, semua wakil sudah menyuarakan di bilik mesyuarat. Sekarang pertanyaannya adalah, ‘Ibu sendiri nak apa?’

“Kami berdua terkedu. mama jawab, ‘Saya tak nak apa-apa. Bagilah anak seni bekerja. Anak seni nak cari duit untuk makan ahli keluarga.’ Saya tak tipu, saya saksi itulah jawapan mama,” katanya.

Farah berkata, wanita dihormatinya itu sebenarnya mempunyai peluang untuk meminta apa sahaja, namun memilih untuk tidak mendapatkan sesuatu bagi kepentingan diri sendiri.

Malah, sebelum beredar, dedahnya mereka diberikan sekeping kad untuk dihubungi andai Fauziah memerlukan apa-apa bantuan pada masa akan datang.

“Dalam bilik itu ada suara berkata, ‘Ibu (panggilan untuk Fauziah) ini kad. Kalau ibu nak apa-apa dan tahu nak apa, hubungi nombor ini.’

“Mama hanya tersenyum, pegang erat tangan saya dan kami berlalu keluar. Kami berdua masih terkedu dengan apa yang berlaku dan soalan yang diajukan,” katanya.

Kongsi aktivis teater itu lagi, tidak lama selepas pertemuan itu kerajaan mengumumkan penggiat seni dibenarkan kembali bekerja dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Alhamdulillah. Terima kasih Allah kerana memakbulkan niat mama. Dari gurauan menjadi kenyataan,” ulasnya.

Lebih mengharukan ujarnya, kira-kira tiga tahun selepas peristiwa itu, Fauziah akhirnya menerima penganugerahan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk.

Farah menegaskan, perjuangan Fauziah bukan semata-mata untuk diri sendiri, sebaliknya demi memastikan penggiat seni mempunyai ruang untuk terus bekerja dan mencari rezeki.

“Kami bersuara bukan untuk mulut kami saja disuap nasi. Saya tahu susahnya orang seni menghiburkan semua hati.

“Indahnya seni apabila kita manusia memanusiakan manusia. Saya tahu kentalnya orang seni, sanggup makan mi segera separuh untuk sehari demi mencari ilmu seni itu sendiri,” katanya.

Pada hantaran sama, balu kepada pengarah dan penulis skrip, Allahyarham Pitt Hanif itu turut berkongsi sisi lain mentuanya yang selama ini tidak diketahui ramai iaitu sering menyumbangkan makanan dan barangan daripada orang ramai untuk diagihkan kepada penggiat seni yang memerlukan.

“Bayangkan kami ini berapa orang sahaja tetapi beras di rumah beratus-ratus kilogram. Sabun, biskut, macam-macam lagi, sudah macam kedai runcit. Itu belum kira makanan yang sudah dimasak.

“Itu makanan dalam bentuk duit. Mama terima kerana ada hamba Allah yang menghulurkan dan amanah itu mama serta kami pegang untuk diberikan kepada yang memerlukan,” katanya.

Menurut Farah, bantuan tersebut kemudian diagihkan kepada kru, pelajar seni, penggiat teater, penari serta penggiat seni daripada pelbagai peringkat tanpa mengira kedudukan.

“Tak pernah kami nak membezakan orang seni. Orang tak nampak apa yang kami buat, terutama apa yang mama saya buat.

“Mungkin apabila sudah tiada, barulah orang seni bercakap dan memahami ayat di sebalik ayat pernah disampaikan mereka yang tahu apa kami buat,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Pelakon Suara Optimus Prime , Peter Cullen Meninggal Dunia

0
LOS ANGELES - Pelakon suara di sebalik watak ikonik Optimus Prime dalam francais Transformers, Peter Cullen dilaporkan meninggal dunia pada usia 85 tahun. Ejen pelakon...

CATEGORIES