PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Zulin Aziz, mengakui dia masih perlu menurunkan lagi berat badannya supaya kelihatan lebih sesuai dan menarik apabila beraksi di hadapan kamera.
Zulin atau Farah Azleenda Abdul Aziz, 37, berkata, imej di dalam kamera lazimnya menunjukkan saiz badan yang lebih berisi berbanding keadaan fizikal seseorang pelakon.
Menurutnya, dia yang kini dalam proses mengurangkan berat badan menegaskan bahawa sasaran itu dibuat khusus untuk keperluan kerjayanya dalam bidang seni.
“Ya! Saya masih lagi dalam proses mengurangkan berat badan. Saya tidak meletakkan angka sasaran sebagai fokus utama kerana bagi saya yang lebih penting ialah kesihatan dan bagaimana saya rasa terhadap diri sendiri.
“Tetapi, kalau dalam kamera memang ada berat badan tertentu yang lebih sesuai. Kamera selalunya membuatkan kita kelihatan lebih berisi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Zulin mahu memastikan dirinya kekal sihat di samping mendapatkan penampilan yang ideal untuk tontonan di skrin.
“Sebab itulah saya perlu turunkan lagi berat badan supaya kelihatan lebih sesuai di hadapan kamera. Bukanlah mahu kata untuk nampak cantik semata-mata, tetapi lebih kepada kesesuaian paparan visual dalam kamera,” katanya.
Terdahulu, usaha Zulin untuk mendapat berat badan ideal gagal kerana terdapat kekangan dari pelbagai sudut, namun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020 seperti memberi laluan mudah untuk menurunkan berat badannya itu.
Sumber – Utusan





