Tuesday, June 9, 2026
HomeHIBURAN‘Saya Ingat Anggrek Tak Dapat Bertahan Sebab Usianya’ - Adira

‘Saya Ingat Anggrek Tak Dapat Bertahan Sebab Usianya’ – Adira

PADA awal penglibatan Adira Suhaimi dengan anak sulungnya, Anggrek dalam program Talk To My Manager 2 (TTMM2), ramai tidak meletakkan sebarang jangkaan tinggi buat mereka.

Bukan disebabkan tiada bakat, sebaliknya faktor usia Anggrek yang terlalu kanak-kanak berbanding peserta lain juga menjadi sebab mereka mungkin gagal bertahan lama.

Namun, semuanya berubah 180 darjah selepas Anggrek beraksi ‘garang’ dengan memberi persembahan hebat hampir setiap minggu. Dia anak kecil yang lincah dan ligat!

Dihujani pujian setiap waktu, Adira, 35, mengakui tidak menjangka dia dan Anggrek masih kekal dalam TTMM2 melebihi enam minggu.

“Saya tak mahu cakap anak sendiri hebat, kedengaran terlalu riyak pula, namun bakat yang dimilikinya adalah pinjaman daripada Allah SWT.

“Sejujurnya, saya pun tak jangka yang Anggrek boleh bertahan sampai minggu ketujuh. Pada awalnya fokus saya mungkin buat saja-saja, ambil pengalaman pendedahan atas pentas.

“Saya ingatkan dia tak dapat bertahan sebab kurang yakin disebabkan usianya, namun Anggrek buktikan mampu lakukan,” katanya.

KELINCAHAN dan keyakinan Anggrek di atas pentas mencuri perhatian ramai pihak, termasuk karyawan industri.

Usia Anggrek

Bercerita mengenai teknik tariannya dan reaksi muka ketika di atas pentas yang meraih pujian ramai, Adira berkata, Anggrek seorang kanak-kanak yang sangat rajin berlatih.

“Kalau minat dan mahukan sesuatu, dia akan lakukan sampai mampu.

“Mengenai ‘attitude’ ketika menari seperti lirikan mata dan sebagainya, itu semua hasil usahanya sendiri di atas pentas.

“Apa pun, usia sembilan tahun hanya sekadar umur, paling utama bakat dan dia rajin belajar dalam setiap kelas yang saya hantar,” kongsinya.

Melihat sokongan rakyat Malaysia terhadap Anggrek, penyanyi lagu Sayang Orang Sama itu menghargainya, namun memilih untuk tidak terlalu hanyut dengan pujian sehingga memakan diri sendiri kelak.

Menjadikan semua kata-kata positif sebagai kunci semangat, dia dan Anggrek akan terus maju ke hadapan sekali gus memberi sokongan penuh terhadap kerjaya seni anaknya itu.

“Saya bersyukur dapat sokongan dan menjadikannya sebagai pemangkin semangat untuk Anggrek pergi lebih jauh.

“Namun adakala saya takut juga sebenarnya dengan pujian-pujian berlebihan ini sebab risau terlalu seronok sehingga hanyut.

“Saya percaya banyak lagi benda yang Anggrek perlu belajar dan perbaiki, jauh lagi perjalanannya. Itu satu tanggungjawab besar buat saya tetapi saya berterima kasih untuk semua sokongan ramai,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia akan memberi sokongan penuh sekiranya Anggrek ingin meneruskan minat menjadi seorang artis pada masa hadapan.

ANGGREK disifatkan sebagai bintang pelapis yang mempunyai pakej lengkap sebagai penghibur.

Pelajaran

Namun, perkara utama yang Anggrek perlu utamakan ketika ini adalah pelajaran berbanding kerjaya seni.

“Saya nak jadi ibu yang sentiasa menyokong minat dan cita-cita anak.

“Namun, pelajaran tetap menjadi fokus nombor satu. Saya tak akan biarkan dia abai pelajaran dan habiskan belajar dulu.

“Selepas habis belajar dan sudah boleh buat keputusan sendiri, saya akan sokong apa sahaja untuk dia, insya-Allah. Selagi dia belum boleh buat keputusan sendiri, saya akan lakukannya untuknya,” ujarnya.

Berbekalkan pengalaman sebagai anak seni lebih dua dekad, Adira akan memberi segala tunjuk ajar dan ilmu kepada Anggrek yang baru berusia sembilan tahun itu untuk berdepan dengan dunia hiburan sebenar.

“Insya-Allah saya akan bimbing dia selagi ada peluang, ruang dan masih bernafas ini.

“Baru permulaan untuk dunia yang sebenar selepas ini,” ujarnya yang memberi bayangan Anggrek bakal berkolaborasi dengan seorang penyanyi tempatan tidak lama lagi.

Ditanya sama ada akan menghasilkan sebuah single kolaborasi dengan anak sendiri, dia menolak perkara tersebut.

“Kalau nak kolaborasi, mungkin bukan dengan saya.

“Saya mungkin ada suara tetapi tidak boleh menari dan rasa pasangan duet dia adalah orang lain, bukan saya.

“Doa-doakanlah, kalau saya nak kongsi (bakal ada kolaborasi), cepat sangat pula beritahu,” katanya lagi yang sepatutnya tersingkir pada minggu suku akhir, namun bernasib baik apabila diselamatkan dengan kuasa imuniti barisan juri tetap.

ADIRA tetap akan mengutamakan akademik Anggrek sebelum memberi ‘lampu hijau’ buat puterinya berkecimpung dalam dunia seni.

Sumber – Kosmo! Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Kalau Keluar Asyik Main Telefon, Baik Tak Payah Jumpa’ – Alvin...

0
PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi Alvin Chong meluahkan rasa kurang senang terhadap sikap segelintir individu yang terlalu leka bermain telefon ketika meluangkan masa...

CATEGORIES