Friday, July 24, 2026
HomeHIBURANSaya Akui Banyak Kesilapan Saya Terhadap Lara – Awal Ashaari

Saya Akui Banyak Kesilapan Saya Terhadap Lara – Awal Ashaari

KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon, Awal Ashaari, 44, mengakui pernah melakukan banyak kesilapan ketika membesarkan anak sulungnya, Lara Alana, yang kini berusia 12 tahun.

Awal berkata, pengalaman pertama bergelar bapa membuatkan dia terlalu teruja sehingga tanpa disedari meletakkan pelbagai tekanan terhadap Lara untuk melakukan banyak aktiviti ketika masih kecil.

Menurutnya, kesilapan tersebut hanya disedari selepas dia semakin matang dan melalui pengalaman membesarkan anak keduanya, Lila Amina.

“Bagi saya, perjalanan membesarkan Lara penuh dengan momen pahit dan manis kerana dialah anak pertama dan dengan dialah saya belajar menjadi seorang bapa.

“Sebenarnya banyak kesilapan yang saya lakukan terhadap Lara dan saya mengakuinya. Apabila sudah sampai pada usia sekarang, perkara-perkara yang pernah saya lakukan terhadap Lara dahulu, saya tidak lagi lakukan kepada anak kedua.

“Kalau dibandingkan perjalanan Lara dengan Lila, membesarkan Lila lebih mudah dan lancar kerana saya sudah belajar daripada kesilapan lalu,” katanya.

Awal berkata, dia adakalanya berasa sedih apabila menonton semula rakaman video lama anak sulungnya kerana menyedari banyak perkara yang dilakukan ketika itu berpunca daripada kekurangan pengalaman sebagai seorang bapa.

“Apabila saya tengok semula video-video lama, saya jadi sedih. Saya terfikir, ‘Ya Allah, banyaknya perkara yang aku tak tahu dahulu sehingga aku buat begitu kepada anak pertama aku. Kenapa kita buat macam itu?’

“Sekarang apabila tengok Lara sudah membesar, sedikit sebanyak saya rasa bangga melihat perkembangan dia. Tetapi pada masa sama, ada juga perasaan bersalah apabila mengenangkan perkara yang pernah saya lakukan kepadanya dahulu,” katanya.

Awal berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran JAM 2026 di ibu negara, semalam.

Selain itu, suami kepada pelakon dan pengacara, Scha Alyahya itu berkata, perasaan tersebut menyebabkan dia sering mengambil kesempatan pada momen istimewa termasuk sambutan Aidilfitri dan hari lahir untuk memohon maaf kepada Lara.

“Setiap kali hari jadi atau raya, apabila ada momen bersama Lara, saya selalu minta maaf kepadanya. Terutamanya ketika raya, kami ada satu ikatan di mana dia akan peluk saya dan saya akan peluk dia.

“Masa hari jadinya baru-baru ini pun, tepat pukul 12 tengah malam saya masuk ke biliknya dan ucapkan selamat hari jadi. Dia terus peluk saya dan menangis. Saya juga menangis sebab saya tahu banyak kesilapan yang pernah saya lakukan dahulu,” katanya.

Mengimbas kembali zaman kanak-kanak Lara, Awal mengakui keterujaannya sebagai bapa kali pertama menyebabkan jadual anaknya terlalu padat dengan pelbagai kelas dan aktiviti.

Katanya, Lara pernah didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk menunggang kuda, bermain piano, tenis dan berbasikal kerana dia ketika itu merasakan anaknya perlu mencuba segala-galanya.

“Apa sahaja kelas yang dia tidak pergi? Apa sahaja aktiviti yang dia tidak buat? Orang pergi naik kuda, dia kena naik kuda. Orang main piano, dia kena main piano. Orang main tenis, kita hantar dia main tenis.

“Bila fikir semula, saya tertanya-tanya untuk apa sebenarnya semua benda itu? Ketika itu kami masih mencuba dan belajar kerana terlalu teruja menjadi ibu bapa kali pertama.

“Sekarang saya sedar sebenarnya tidak perlu pun semua itu. Dengan anak kedua, kalau dia suka piano, biarkan dia main piano. Kalau beli basikal, letak sahaja di luar dan biarkan dia belajar mengikut kemampuan serta rentaknya sendiri,” katanya.

Awal berkata, dia kini menyedari tindakan membandingkan perkembangan anak dengan kanak-kanak lain hanya memberikan tekanan yang tidak sepatutnya kepada mereka.

“Dulu kalau tengok anak orang lain sudah pandai main basikal, kita rasa anak kita pun mesti belajar berbasikal. Tengok anak orang naik kuda, kita rasa anak kita pun kena naik kuda.

“Bila fikir semula, buat apa nak naik kuda? Lara sebenarnya mengajar saya menjadi seorang bapa yang lebih waras, lebih memahami anak dan belajar mengikut rentak mereka, bukan sekadar melakukan sesuatu untuk memenuhi jangkaan orang lain,” katanya.

Menurut Awal, kesibukan jadual Lara ketika kecil juga membuatkannya sedar bahawa anak sulungnya itu tidak mempunyai banyak masa untuk sekadar menikmati kehidupan sebagai seorang kanak-kanak.

“Bila saya fikir tentang Lara dahulu, saya terfikir, ‘Ya Allah, sibuknya hidup dia.’ Macam tak ada waktu untuk dia membesar sebagai seorang budak kecil kerana masanya sering diisi dengan perkara yang kadang-kadang sebenarnya tidak perlu pun.

“Dulu kalau tengok anak duduk menonton televisyen pun kita rasa tak boleh dan mesti ajak keluar melakukan aktiviti. Kita fikir perlu buat semua itu untuk membentuk dia menjadi manusia, sedangkan duduk menonton televisyen pun dia tetap akan membesar menjadi manusia,” katanya.

Sumber – Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Itu Adalah Yang Pertama Dan Terakhir Saya Bawakan Bila Kau Tiada’

0
KUALA LUMPUR: Penyanyi, Syamel, 32, mengakui tidak mudah untuk dia membawakan lagu Bila Kau Tiada yang dihasilkan olehnya sekitar empat tahun lalu. Menurut Syamel atau...

CATEGORIES