KETIKA nama sedang meniti populariti acapkali memegang peranan hero dalam drama, Jazmy Juma mengejutkan ramai apabila menamatkan zaman bujang bersama wanita pilihan hatinya, Farah Athirah Rozman bulan lalu.
Tidak pernah bimbang peminat menghilang selepas bertukar status sebagai suami orang, Jazmy atau nama penuhnya Jazmy Khan Juma Khan menegaskan perkara tersebut tidak lagi relevan pada zaman ini.
“Alhamdulillah saya masih Jazmy yang sama. Tiada isu sama ada peminat hilang sebab sudah berkahwin.
“Kita di zaman 2026 dan penonton serta peminat sudah semakin bijak. Mereka lebih menilai kualiti naskhah yang ditonton, bukannya kerana status pelakon tersebut.
“Tiada istilah cerita kurang popular sebab pelakon sudah kahwin. Mereka menonton sesebuah drama kerana jalan cerita yang bagus,” katanya.
Katanya, kerisauan peminat lari atau berkurang tidak pernah menjadi kerisauannya malah bersyukur ramai menitipkan doa untuk mahligai bahagia yang baru dibina bersama isteri.
“Saya sendiri menonton sesebuah naskhah bukan kerana pelakon itu masih solo, cantik, comel atau kacak tetapi kerana jalan cerita yang dipersembahkan.
“Sekarang semuanya sudah berbeza termasuk pemikiran penonton drama. Bagi saya tiada sebarang isu pun,” ujarnya.
Berkongsi kehidupan sebagai seorang suami, bekas peserta Hero Remaja 2020 itu bersyukur mendirikan rumah tangga dengan wanita yang sangat menyokong kerjaya seninya.
“Ramai yang sudah tahu, tempoh saya bercinta dengan isteri sudah lama dan dia adalah antara penyokong terkuat saya.
“Kalau orang kata dia akan cemburu atau sebaliknya, isu itu tidak timbul.
“Walaupun sudah kahwin, saya akan terus mengejar banyak impian sebagai anak seni, namun limitasi tetap ada,” katanya lagi.
Kapten Zul Aaryan
Beralih kepada perkembangan kerjaya, pelakon berusia 28 tahun itu kini menghiasi slot Akasia TV3 menerusi drama Yes! Captain Zul Aaryan bersama Anna Jobling.
Akuinya, melakonkan watak sebagai seorang juruterbang merupakan impiannya sejak menceburkan diri dalam bidang seni.
“Macam-macam saya lakukan untuk dapatkan perwatakan sebagai seorang juruterbang kapal terbang. Saya ke lapangan terbang, perhati dari jauh juruterbang di sana.
“Saya belajar cara mereka berjalan, berkomunikasi dan bawa beg juga. Saya perlu dapatkan karisma tersebut.
“Itu semua usaha saya untuk watak Kapten Zul Aaryan, harap mood dan emosi itu berjaya dirasai penonton,” kongsinya yang sentiasa tekun mengutip ilmu daripada pelakon senior.
Pertama kali bergandingan dengan Anna, Jazmy mengakui pada awalnya agak kekok untuk melakonkan babak romantis.
Namun, rasa kekok dan segan perlahan-lahan lenyap apabila aktres itu memberi kerjasama yang baik sekali gus mencipta keserasian antara mereka untuk drama tersebut.
“Pada awalnya segan sebab kami tak pernah digandingkan dalam mana-mana drama sebelum ini.
“Nak buat adegan romantis memang segan dan agak susah sebenarnya tetapi dengan bantuan pengarah, Nizam Zakaria, kami berjaya lakukan. Keserasian pun terbina dengan sendiri.
“Saya dan Anna juga banyak berbincang termasuk keperluan babak-babak tertentu sebab risau rosakkan jalan cerita kalau tak lakukannya,” jelasnya yang popular dengan dramaHilang Dalam Rindu.
Dia bagaimanapun tetap menitikberatkan limitasi dalam lakonan terutama melibatkan adegan romantis dengan pelakon wanita kerana mahu menjaga sensitiviti melibatkan banyak perkara.
Getus Jazmy, dia sentiasa berusaha mengelak daripada melakonkan babak yang boleh mengundang padah terhadap diri sendiri.
“Babak romantik ada limitasi, bukan sebab tak mahu lakukan tanggungjawab sebagai seorang pelakon tetapi saya perlu sedar mengenai sensitiviti banyak perkara.
“Saya berlakon di Malaysia, slot ditonton pelbagai lapisan umur, jenis penonton dan sebagainya. Semua itu saya ingatkan diri sendiri setiap kali melakonkan babak romantis.
“Saya selalu pegang pesanan segelintir pihak, apapun yang terjadi, pada akhirnya saya yang kena pikul tanggungjawab atau akibat untuk watak dipegang.
“Kalau boleh tak mahu papar sesuatu yang kurang bagus untuk generasi muda. Mungkin adakalanya terlepas pandang tetapi saya cuba untuk kawal semua itu,” akhirinya.
Sumber – Kosmo! Online





