Selepas mencipta kejayaan dalam bidang pertanian, selebriti dan usahawan tersohor Datuk Rosyam Nor kini melebarkan sayap dalam bidang penternakan ikan tilapia menggunakan teknologi moden bioflok.
Projek ternakan ini dijalankan di ladang miliknya di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang, Pahang dengan pembiayaan daripada Agrobank. Menurut Rosyam, kolam bioflok yang digunakan berbentuk bulat seperti kolam renang dan membolehkan penternakan ikan dalam persekitaran terkawal serta mesra alam.
“Sebelum ini, saya ada juga membuat penternakan lembu dan kambing tetapi hanya secara kecil-kecilan. Kali ini, saya akan memberi tumpuan kepada penternakan ikan tilapia dengan kaedah bioflok,
“Insya-Allah, dalam masa sebulan lagi saya akan bermula dengan 50 buah kolam,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas sesi Temu bual Radio: Di Sebalik Kaca TV, Personaliti Sebenar dan Figura Umum, di sini bariu-baru ini.
Bintang filem Memoir Seorang Guru itu optimis terhadap potensi projek ini, yang mana akan memberi pulangan yang stabil dan berterusan kerana tilapia merupakan antara pilihan utama pengguna tempatan.
“Tilapia ini semua orang makan. Kalau ikut pasaran sekarang, permintaan sentiasa ada. Tambahan pula, dengan sistem bioflok, kita boleh hasilkan ikan dalam masa empat bulan sahaja berbanding kaedah biasa yang ambil masa lebih lama,” katanya yang turut merancang untuk memasarkan hasil ternakan itu di pasar raya ST Rosyam Mart miliknya nanti.
Selain itu, Rosyam juga merancang untuk membangunkan pusat kecemerlangan di kawasan yang sama bagi melatih golongan muda dalam bidang pertanian dan perikanan, sekaligus menyuntik minat dan memberi pendedahan kepada generasi baharu.
Lakonan Sebagai Medium Dakwah
Mengulas mengenai wataknya sebagai Iman dalam drama bersiri Keluarga Itu, Rosyam menegaskan bahawa watak tersebut bukan menjatuhkan imejnya, malah menjadi medium dakwah yang menyentuh realiti masyarakat masa kini.
“Saya tak rasa watak itu menjatuhkan maruah saya, sebaliknya itu cara saya berdakwah melalui lakonan. Penonton perlu menonton drama itu dari awal hingga akhir dan bukannya daripada potongan beberapa babak di TikTok, barulah mereka (penonton) akan faham kepentingan watak itu.
“Saya mahu penonton berfikir dan sedar akan isu tersebut juga berlaku dalam sesebuah keluarga hari ini, dan saya tidak rasa watak itu mengurangkan kredibiliti saya sebagai pelakon kerana Rosyam Nor dikenali sebagai pelakon versatil, tapi saya akan rasa lebih hina lagi kalau saya gagal membawa watak tersebut dengan baik,” katanya.
Tiga Filem Menanti Tayang
Dalam perkembangan lain, Rosyam akan membintangi filem Banduan bersama Datuk Aaron Aziz. Beliau juga bakal muncul dalam tiga lagi filem tempatan iaitu Keluang Man, The Original Gangster, dan Susuk Bidadari yang dijangka menemui penonton pada tahun ini.





