PETALING JAYA: Pelakon, Fathiya Latiff meluahkan rasa kesalnya terhadap prosedur kosmetik yang pernah dilakukannya sebelum ini demi mengejar kecantikan pada wajah.
Fathiya atau Nur Fathia Abdul Latiff, 39, mendedahkan bahawa tindakan melakukan suntikan botoks dan prosedur ‘cucuk’ wajah pada masa lalu bukan sahaja memberikan kesan yang singkat, malah meninggalkan impak negatif kepada tekstur kulitnya dalam jangka masa panjang.
Menurut pelakon drama Ariana Rose ini, kesan daripada prosedur tersebut menyebabkan wajahnya kelihatan rosak apabila kedutan dan masalah beg mata kembali menghantui dirinya sebaik sahaja kesan rawatan tersebut hilang.
“Saya menyesal sebab perubahan wajah saya sebelum ini memang ada buat botok, tapi kesannya tak lama. Muka akan jadi rosak, kedutan akan datang balik dan masalah beg mata pun muncul semula.
“Saya buat cara ‘cucuk’ dan sampai sekarang kesannya masih ada,” dedah Fathiya dalam satu perkongsian video yang tular, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai keadaan wajahnya, Fathiya mengakui faktor usia yang kini mencecah 39 tahun menyebabkan kulitnya mula kehilangan keanjalan, terutama di bahagian mata, mulut dan pipi.
“Muka saya macam sudah tidak tegang termasuk bawah mata sebab umur pun sudah 39 tahun. Semua otot wajah sudah jatuh. Saya memang mahu tegangkan semula di bahagian mata, mulut dan pipi,” katanya.
Bimbang dengan kesan sampingan prosedur invasif yang pernah dialami, Fathiya kini memilih pendekatan yang lebih selamat dan bersifat semula jadi untuk mengekalkan keremajaan wajahnya.
Jelasnya, dia kini lebih selesa menggunakan rawatan High-Intensity Focused Ultrasound(HIFU) yang ternyata memberikan hasil lebih memuaskan tanpa merosakkan kulit.
“Sekarang saya guna cara semula jadi dengan melakukan rawatan HIFU. Memang kulit nampak lebih baik dan segar. Saya rasa cara ini lebih berkesan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Fathiya turut menitipkan pesanan dan nasihat buat orang ramai, khususnya wanita yang bercadang untuk mengubah bentuk wajah agar berfikir panjang sebelum membuat sebarang keputusan.
Tegasnya, proses penuaan secara semula jadi adalah jauh lebih baik daripada bergantung kepada prosedur yang akhirnya memudaratkan diri.
“Saya harap sebelum orang nak buat apa-apa prosedur wajah, fikir dahulu. Kerana bagi saya, ‘age gracefully’ menua dengan anggun adalah yang terbaik,” katanya.
Sumber – UTUSAN





