Thursday, June 25, 2026
HomeHIBURANLimp Bizkit Bakal Gegar Bukit Jalil Disember Ini

Limp Bizkit Bakal Gegar Bukit Jalil Disember Ini

KUALA LUMPUR, 24 JUN 2026Limp Bizkit, secara rasminya bakal mengadakan konsert di Malaysia buat kali pertama. Konsert ini dijangka menjadi satu detik bersejarah buat peminat muzik rock dan alternatif di seluruh rantau ini. Dianjurkan oleh Hitman Solutions, konsert tersebut akan berlangsung pada 9 Disember 2026 di Stadium Hoki Nasional, Kuala Lumpur.

Konsert yang amat dinanti-nantikan ini bukan sahaja menandakan penampilan sulung Limp Bizkit di Malaysia, malah ia merupakan satu-satunya konsert mereka di Asia tahun ini, sekali gus menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi eksklusif bagi peminat di seluruh Asia.

Peminat dari Malaysia dan seluruh Asia kini berpeluang menyaksikan salah satu kumpulan rock berpengaruh secara langsung di pentas. Terkenal dengan lagu-lagu hits global seperti “Rollin’”, “My Way”, “Break Stuff”, dan “Nookie”, kumpulan yang pernah dicalonkan dalam Anugerah Grammy ini terus memukau jutaan peminat di seluruh dunia menerusi tenaga persembahan yang meledak, penampilan pentas yang bertenaga, serta genre muzik yang mencorakkan zaman.

Sebagai satu-satunya lokasi persinggahan di Asia, konsert Limp Bizkit Live in Malaysia – One-Stop Asia Show dijangka menjadi satu tanda aras baharu bagi pengalaman konsert di rantau ini. Persembahan tersebut bakal menyatukan generasi peminat yang membesar dengan muzik mereka serta peminat baharu yang baru mengenali impak besar kumpulan ini dalam muzik rock moden. Para penonton boleh menantikan malam yang penuh bertenaga dengan seleksi lagu kegemaran ramai, produksi pentas yang hebat, serta gaya tersendiri Limp Bizkit yang telah menjadikan mereka antara kumpulan rock paling ikonik di dunia.

Ditubuhkan di Jacksonville, Florida, Limp Bizkit mula melonjak ke pentas global pada lewat 1990-an dan awal 2000-an. Mereka turut membantu mencorakkan pergerakan muzik rock menerusi gabungan elemen hard rock, hip-hop, dan pengaruh alternatif. Diketuai oleh vokalis Fred Durst, kumpulan ini telah menjual berjuta-juta unit album di seluruh dunia dan kekal sebagai pengaruh besar dalam muzik rock, serta terus memberi inspirasi kepada artis dan peminat merentasi generasi.

Rohit Rampal, CEO dan Pengasas Hitman Group, meluahkan rasa keterujaannya dalam membawa Limp Bizkit ke Malaysia: “Ini merupakan satu pencapaian yang amat besar, bukan sahaja buat kami sebagai penganjur, tetapi buat semua peminat muzik rock dan alternatif di seluruh rantau ini. Selama lebih tiga dekad, Limp Bizkit telah mencorakkan bunyi dan budaya rock moden, namun peminat di Malaysia belum pernah berpeluang merasai pengalaman menyaksikan mereka secara langsung di sini.

” Menyokong kenyataan tersebut, Keeran D, Ketua Projek Khas Hitman Solutions, berkata: “Dengan pengesahan Kuala Lumpur sebagai satu-satunya destinasi persinggahan mereka di Asia tahun ini, konsert ini menjadi lebih istimewa. Kami bangga dapat menjadikan Malaysia sebagai destinasi tumpuan bagi peminat dari seluruh Asia untuk berkumpul dan menyaksikan sebuah kumpulan yang benar-benar ikonik perform secara langsung di pentas.

” Tiket-tiket boleh didapati mulai 30 Jun 2026 pada jam 12:00 Tengah Hari menerusi laman web www.hitmanlive.com. Konsert ini akan menawarkan empat kategori tiket, dengan harga bermula dari RM398 hingga RM786.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai konsert, sila hubungi +6012-265 5783 atau emel ke concerts@hitman.group.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Ronaldo Belum Berkarat Bantu Portugal Belasah Uzbekistan 5-0

0
HOUSTON – Cristiano Ronaldo menutup mulut pengkritiknya apabila berjaya meledak dua gol selepas membantu Portugal berpesta gol membelasah Uzbekistan 5-0 dalam aksi kedua Kumpulan...

CATEGORIES