Monday, May 25, 2026
HomeHIBURANAmeng Spring Kongsi Detik Hitam Anak Hampir Dihantar Ke JKM

Ameng Spring Kongsi Detik Hitam Anak Hampir Dihantar Ke JKM

KUALA LUMPUR: Penyanyi kumpulan Spring, Ameng, masih tidak dapat melupakan detik cemas ketika anaknya, Wan Ammar Haikal Wan Aminuddin, hampir dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas dia ditahan kerana memiliki dadah pada 2011.

Dalam perkongsian eksklusif bersama Dol’s Podcast yang dikendalikan Mamat, Shuib dan Fizi, Ameng berkongsi bagaimana anaknya yang baru berusia empat tahun ketika itu panik melihat dirinya dan isteri digari.

 

Ameng kongsi kisah getir, anak dan isteri jadi motivasi untuk berubah. - Foto Youtube Shuib Channel
Ameng kongsi kisah getir, anak dan isteri jadi motivasi untuk berubah. – Foto Youtube Shuib Channel

 

“Ammar yang tak faham apa-apa panik kenapa tiba-tiba ramai orang serbu bilik kami dan melihat kami suami isteri digari. Dia kata jangan ikat (gari). Bagaimanapun kami dipisahkan daripada Ammar sewaktu dibawa ke balai polis dan diberitahu Ammar akan diserahkan kepada JKM,” kongsi Ameng.

Ameng memaklumkan, dia merayu kepada salah seorang anggota polis supaya tidak menghantar Ammar ke JKM dan memohon izin untuk menghubungi ahli keluarga.

“Isteri turut direman kerana dia ada bersama saya dalam bilik hotel itu walaupun tidak mengambil dadah. Dia direman tiga hingga empat bulan di Penjara Sungai Udang, Melaka,” katanya.

Ameng berkata, nasib isteri dan anak menjadi pendorong utama untuknya berubah. Selepas isteri dibebaskan tiga bulan kemudian, setiap bulan dia tidak jemu membawa Ammar melawat Ameng di Penjara Kluang, Johor.

“Selepas hakim menjatuhkan hukuman, saya rasa hidup dah musnah. Saya lupakan anak dan isteri, penjara seakan penamat hidup saya. Ibu saya pun dalam sakit-sakit tetap datang ke mahkamah sambil menangis,” katanya lagi.

Berkongsi lanjut, Ameng mengakui menyesal kerana menyusahkan isteri dan anak-anak apabila rumah serta dua keretanya ditarik oleh bank, dan anak keduanya, Azeva Natassha, malu ke sekolah selama tiga bulan akibat diejek rakan.

“Saya sangat menyesal kerana gara-gara kesilapan saya, saya dah menyusahkan isteri, anak-anak dan peminat. Sewaktu baru dibebaskan, saya terserempak dengan peminat yang kecewa kerana wang mereka saya gunakan untuk beli dadah,” jelas Ameng.

Ameng mendedahkan detik terjerumus ke dunia dadah bermula ketika menyanyi di kelab malam. Bermula sekadar ingin mencuba, lama-kelamaan beliau ketagih dan pernah mencuba pelbagai jenis dadah kerana ketika itu mengaku mempunyai wang yang banyak.

“Ini semua kesan daripada sikap tamak. Pada 1997 saya mempunyai wang terlalu banyak, duit saya ada di bawah sofa, kotak kasut. Kereta bertukar-tukar.

“Saya ingin cari lagi duit lebih, jadi saya cuba nasib sebagai penyanyi kelab. Tawaran yang saya terima boleh dikira mewah pada ketika itu, RM12,000 sebulan, belum termasuk show,” katanya.

Ameng mengakui, dunia hiburan pada hujung minggu dan masa lapang antara Isnin hingga Khamis membuatkannya mudah terjerumus dalam penyalahgunaan dadah.

Malah, beliau pernah membelanjakan RM300 sehari untuk membeli dadah dan menyimpan stok kerana tertarik dengan diskaun yang diberikan.

“Dari situlah saya mula terpengaruh. Sebelum itu, arak pun saya tak pernah cuba kerana sentiasa ingat pesan mak. Dari sekadar ingin mencuba, akhirnya saya dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dengan 10 sebatan,” katanya.

Ameng, atau Wan Aminuddin Wan Ismail, 57, dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 atas tiga kesalahan termasuk dua kes memiliki dadah.

Bagaimanapun, hukuman itu dipendekkan berikutan kelakuan dan disiplin cemerlang yang ditunjukkannya sepanjang menjalani hukuman.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Fokus Kepada Penyatuan Kaum, Adi Putra Terbuka Ceburi Bidang Politik

0
Pelakon, Datuk Adi Putra tidak menolak kemungkinan untuk dirinya lebih serius dalam menceburi bidang politik. Walau bagaimanapun, pemilik nama Mohamed Hadi Putera Halim ini menegaskan...

CATEGORIES