Monday, August 10, 2026
HomeBERITAUPNM Tawar Pengajian Diploma Work-Bases Learning Kepada 231 Anggota ATM

UPNM Tawar Pengajian Diploma Work-Bases Learning Kepada 231 Anggota ATM

KUALA LUMPUR: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini menganjurkan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Diploma Work-Based Learning (WBL 2.0) hasil kolaborasi strategik bersama Kementerian Pertahanan.

Majlis yang berlangsung di Dewan Theatrette, UPNM itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pertahanan, Datin Roszanina Wahab.

Program WBL 2.0 adalah pendekatan akademik inovatif yang direka khusus untuk anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ia mengiktiraf kemahiran dan pengalaman kerja mereka melalui pemetaan kerjaya kepada kurikulum akademik tanpa keperluan menghadiri kuliah secara fizikal.

Kelayakan diploma diberikan berdasarkan penilaian profesional yang mematuhi piawaian Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Sebagai universiti terawal yang membangunkan program ini, UPNM meluluskan tiga program diploma iaitu Diploma Pengurusan Logistik (DPL); Diploma Pentadbiran Perniagaan (DPP dan Diploma Perkhidmatan Teknologi Pertahanan (DPTP).

Ketiga-tiga program itu semuanya disusun mengikut tred kerjaya serta keperluan sebenar perkhidmatan ketenteraan.

Kohort pertama program ini melibatkan 231 pelajar, terdiri daripada 139 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), 42 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 50 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurut Roszanina, pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen Kementerian Pertahanan untuk memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada anggota tentera, sambil memperkukuh pembangunan sumber manusia pertahanan negara.

Sementara itu, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad, menyifatkan kejayaan ini sebagai satu lonjakan strategik sejajar aspirasi UPNM30 dan menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pertahanan, ATM dan MQA atas sokongan berterusan.

“UPNM kini menjadi ‘trailblazer’ dalam penawaran Diploma WBL 2.0, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan pertahanan unggul di negara ini,” katanya.

UPNM yakin program ini bukan sekadar pemindahan ilmu, tetapi satu pelaburan jangka panjang dalam pembangunan kapasiti pertahanan negara melalui sistem pendidikan tinggi yang holistik, inklusif dan mampan.

Mohammad Jefri Ismail

Sementara itu, Pegawai Waran I PNK, Mohammad Jefri Ismail, 43 yang mengikuti DPP mengakui tujuannya menyambung pengajian bagi meningkatkan taraf pendidikan.

Justeru itu, beliau yang bertugas di Markas Tentera Laut, Cawangan Sumber Manusia Lain Lain Pangkat di Pangkalan TLDM Lumut terus memberikan nama untuk mendaftar tanpa berfikir panjang.

“Makluman berkaitan pengajian ini sekitar tiga bulan lalu, saya tak fikir panjang terus buat keputusan untuk sambung belajar.

“Saya sudah berkhidmat selama 23 tahun dan bakal tamat perkhidmatan dua tahun lagi.

“Jadi dengan diploma yang saya ada nanti, ia membantu saya dapatkan pekerjaan yang bersesuaian,” katanya.

Mohammad Jefri dalam pada itu berterima kasih kepada Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membuka peluang kepada anggota untuk meningkatkan taraf pendidikan.

Rashidi Md Tahir

Bagi Mohd Rashidi Md Tahir yang bertugas sebagai Pegawai Waran TUDM di Markas Tentera Udara berkata tawaran mengikuti DPP adalah peluang keemasan yang sukar dilepaskan.

Bapa kepada dua anak berusia 43 tahun itu berkata, beliau mempunyai impian untuk melanjutkan pengajian hingga ke Ijazah Sarjana Muda dan permulaan ke arah itu bermula dengan diploma.

“Ini juga motivasi untuk dua anak saya yang berusia 13 dan 17 tahun bahawa untuk belajar tiada had umur.

“Sebagai ibu bapa, kita perlu menjadi contoh kepada anak-anak dalam menuntut ilmu,” katanya.

Siti Nur Aini Jasni

Staf Sarjan Siti Nur Aini Jasni, 40 pula bersyukur ditawarkan mengikuti DPP kerana sudah lama bercita-cita menyambung pengajian.

Beliau yang bertugas sebagai Ketua Jurulatih Tim Akrobatik Army Red Warrior di Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT) berkata ia adalah peluang terbaik dalam mengembangkan kerjaya selepas tamat perkhidmatan.

“Sepanjang 21 tahun tempoh perkhidmatan, saya ditugaskan di dalam skop pengacaraan lebih 10 tahun dan sehingga kini saya masih diberikan tanggungjawab menguruskan majlis ATM.

“Dengan pengalaman dan peluang yang diberikan selama ini, sudah menjadi impian saya untuk membuka perniagaan berkaitan pengurusan acara.

Siti Nur Aini amat berterima kasih kepada Kementerian Pertahanan atas ruang pendidikan yang diberikan.

“Kalau nak belajar sendiri pastinya memerlukan kos yang tinggi tapi kami ditaja sepenuhnya. Terima kasih atas peluang ini,” katanya.

“Jadi dengan adanya diploma ini ia sangat membantu saya di masa depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Jelajah Malaysia Digital 2026 Perkasa Rakyat Ke Arah Negara AI 2030

0
DAMANSARA DAMAI, 8 Ogos 2026 – Kementerian Digital terus memperkasa rakyat dengan kemahiran, pengetahuan dan peluang dalam ekonomi digital menerusi siri Jelajah Malaysia Digital...

CATEGORIES