PETALING JAYA: Tiada bukti kukuh menunjukkan aktiviti antropogenik atau tindakan manusia terhadap alam sekitar menjadi salah satu faktor kepada kejadian tanah runtuh yang berlaku di Batang Kali sehingga mengorbankan 31 nyawa, tahun lalu.
Berdasarkan laporan forensik kejadian tanah runtuh Batang Kali dikeluarkan hari ini, taburan hujan dan hidrogeologi kawasan yang melibatkan perubahan rejim air bawah tanah dikenal pasti sebagai dua faktor penting menyumbang kepada kejadian tersebut, lapor Utusan.
Kata laporan itu lagi, kejadian tanah runtuh tersebut disebabkan oleh faktor semula jadi yang dipengaruhi oleh faktor-faktor cuaca seperti hujan dan geologi.
“Kerja penyelenggaraan cerun dan jalan telah dilaksanakan mengikut jadual penyelenggaraan di lokasi kejadian,” kata ringkasan eksekutif dalam laporan setebal 141 muka surat yang dimuat naik di laman Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) hari ini.
Terdahulu, laporan sama memaklumkan kejadian tanah runtuh di Jalan B66, Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor itu telah melibatkan sejumlah 92 mangsa manakala 31 lagi terkorban.
Menurut laporan itu, tanah runtuh pertama berlaku kira-kira pada pukul 2 pagi 16 Disember 2022 dengan ukuran kegagalan cerun sepanjang 120 meter dan kedalaman maksimum 14 meter.
“Disebabkan oleh keadaan tanah, puing (fenomena pergerakan tanah) runtuhan mencapai kawasan perkhemahan Riverview yang terletak kira-kira 550 meter jauhnya.
“Seterusnya, bahan runtuhan terkumpul di hujung cerun yang gagal, membentuk sebuah empangan sementara. Anggaran jumlah bahan runtuhan adalah kira-kira 283,000 meter padu.
“Mod kegagalan ini adalah kombinasi runtuhan jenis putaran dan aliran puing (toe rotational slide and debris flow),” katanya.
Terdahulu, laporan memaklumkan satu jawatankuasa khas dikenali Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR) telah ditubuhkan bagi menjalankan kerja-kerja penyiasatan tanah runtuh ini berdasarkan kepada Pelan Induk Cerun Negara (PICN) 2009-2023 dan Memorandum Jemaah Menteri.
“Jawatankuasa tersebut diketuai oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya dan melibatkan agensi-agensi teknikal lain seperti Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Meteorologi Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan badan-badan professional yang dilantik,” katanya.
Sumber: Utusan