PUTRAJAYA – Tourism Malaysia menjalinkan kerjasama dengan platform gaya hidup Rednote (Xiaohongshu) dan rakan rasminya di Malaysia, Attitude Asia Group bagi memperkasa komuniti pencipta kandungan pelancongan tempatan.

Kerjasama itu diketengahkan menerusi program Malaysia Creator Meetup yang berlangsung di ibu pejabat Tourism Malaysia di Putrajaya pada 15 September lalu.
Program berkenaan menghimpunkan pencipta kandungan tempatan untuk meneroka perkembangan platform, trend kandungan serta peluang mempromosikan pelancongan dan gaya hidup Malaysia kepada khalayak tempatan serta antarabangsa.
Acara tersebut dibahagikan kepada dua sesi dengan sesi pagi memberi tumpuan kepada pencipta kandungan berbahasa Cina, manakala sesi petang melibatkan pencipta kandungan berbahasa Melayu.
Pendekatan itu bertujuan menggalakkan penghasilan kandungan berkaitan destinasi, budaya dan gaya hidup tempatan dalam pelbagai bahasa, selain membuka peluang kepada lebih ramai pencipta kandungan bukan berbahasa Cina menyertai ekosistem Rednote.

Tourism Malaysia diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II), Samuel Lee Thai Hung pada sesi pagi, manakala Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) merangkap Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, Mohd Akbal Setia menyampaikan penerangan pada sesi petang.
Kedua-duanya berkongsi mengenai strategi promosi utama bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 (VM2026-2027).
Turut hadir, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, Yasmin Faezah Samsudin dan Pengarah Bahagian Pengiklanan dan Digital, Mohd Izal Mohd Nor.
Sementara itu, wakil Pasukan Pertumbuhan Pencipta Global Rednote, Mia Liang membentangkan hala tuju perkembangan platform serta trend kandungan terkini.
Beliau turut mengetengahkan kemudahan pembinaan komuniti yang disediakan platform berkenaan bagi membantu pencipta kandungan mengembangkan pengaruh masing-masing.
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Attitude Asia Group, Kien Lim pula menekankan kepentingan kerjasama merentas industri antara platform digital, agensi awam dan pencipta kandungan dalam memperkukuh ekosistem tempatan.
Pada acara berkenaan, Attitude Ideology yang merupakan sebahagian daripada Attitude Asia Group menerima pensijilan rasmi sebagai Rangkaian Berbilang Saluran atau Multi-Channel Network (MCN).
Pengiktirafan itu membolehkan syarikat berkenaan memperluaskan peranannya dalam pengurusan pencipta, pembangunan kandungan dan kerjasama strategik bersama platform, sekali gus memberikan pencipta kandungan tempatan akses lebih luas kepada sumber serta peluang komersial.
Program tersebut turut menampilkan sesi perkongsian oleh pencipta kandungan pelancongan berpengalaman.
Pencipta kandungan teknologi dan pelancongan, Ke En yang memiliki lebih 500,000 pengikut di pelbagai platform berkongsi panduan menghasilkan kandungan pelancongan yang berguna, jelas dan menarik.
Evelyn atau lebih dikenali sebagai Travelyn, yang pernah melawat lebih 40 negara pula berkongsi pendekatannya dalam merancang kandungan, mengetengahkan penceritaan destinasi dan menggunakan platform digital.
Antara pencipta kandungan serta pempengaruh tempatan yang menyertai program itu ialah Miko Wong, Alvin Teo, Meeki dan Ceddy.
Mereka terlibat dalam perbincangan mengenai kaedah mengetengahkan pengalaman pelancongan dan gaya hidup Malaysia secara autentik kepada khalayak tempatan serta antarabangsa.
Dalam majlis sama, Tourism Malaysia mengiktiraf Attitude Asia Group sebagai rakan strategik sempena VM2026-2027 menerusi penyampaian Sijil Kerjasama Strategik.

Wakil Rednote dan Attitude Asia Group turut menyampaikan sijil serta tanda penghargaan kepada Tourism Malaysia atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam pelaksanaan program pencipta kandungan berkenaan.
Menerusi kerjasama itu, pencipta kandungan digalakkan untuk terus menghasilkan kandungan mengenai destinasi tempatan, budaya, makanan dan pengalaman gaya hidup bagi menyokong kempen VM2026-2027.
Inisiatif tersebut juga diharap dapat memperluaskan jaringan dalam kalangan pencipta kandungan Malaysia, menghubungkan mereka secara langsung dengan platform digital serta menyokong perkembangan bakat pencipta kandungan pelancongan tempatan.






