SHAH ALAM – Seorang peniaga mengalami kerugian RM11,000 selepas rantai lehernya diragut ketika melihat keadaan keretanya yang didakwa dilanggar dalam kejadian di hadapan sebuah rangkaian pasar raya di Setia Alam di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.08 petang selepas mangsa berusia 35 tahun ditegur seorang suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati semasa kejadian mangsa dan isterinya baharu selesai membeli di pasar raya itu.
Katanya, suspek kemudiannya memaklumkan telah terlanggar bahagian hadapan motokar mangsa sehingga mengalami kerosakan.
“Ketika pemeriksaan kereta dilakukan didapati secara tiba-tiba suspek telah bertindak menarik rantai leher mangsa dari arah belakang dan terus melarikan diri.
“Akibatnya, mangsa kerugian kira-kira RM11,000 namun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, usaha mengesan suspek sedang dilakukan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Justeru, kata beliau, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Naqiuddin Nawawi di talian 012-3848103 atau hubungi Ibu Pejabat Daerah ini di talian 03-55202222.
Terdahulu, tular video rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi 21 saat di media sosial yang memaparkan aksi suspek meragut mangsa.
Sumber – KOSMO! ONLINE





