Kuala Lumpur: Solat Isyak berjemaah di surau menyelamatkan kira-kira 90 pelajar daripada terbabit kebakaran di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak di sini, malam tadi.
Difahamkan, ketika kejadian kesemua mereka yang berusia antara 13 hingga 17 tahun berada di surau sekolah.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Japari Tajuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 8.43 malam.
Menurutnya, empat jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak, BBP Sentul, BBP Jalan Hang Tuah serta BBP Gombak Selatan dikejarkan ke lokasi bersama pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran membabitkan tingkat satu bangunan asrama pelajar lelaki di sekolah berkenaan.
“Operasi memadamkan kebakaran yang membabitkan kekuatan 40 anggota segera dijalankan dan api berjaya dikawal pada 9.40 malam,” katanya.
Beliau berkata, api berjaya dipadamkan sepenuhnya beberapa minit kemudian dengan kemusnahan akibat kebakaran dianggarkan 80 peratus.
“Bagaimanapun, tiada mangsa yang terbabit (cedera) kerana semasa kejadian kesemua pelajar sedang berada di surau,” katanya.
Menurutnya, Unit Forensik JBPM akan menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian.
Sumber – Harian Metro





