KUALA LUMPUR – Seorang pelajar jurusan penerbangan di sebuah akademi swasta maut terjatuh dari tingkat 39, sebuah kondominium di Sungai Besi, malam tadi.
Lelaki berusia 19 tahun yang menetap di Semenyih itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala, anggota badan serta kaki.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.53 malam.
Ujarnya, hasil siasatan mendapati, mangsa terjatuh dari tingkat 39 dan terhempas ke atas bumbung kereta yang diparkir di hadapan sebuah restoran.
“Hasil semakan rakaman televisyen litar tertutup di kawasan ruang legar tingkat 38 tempat mangsa menyewa bilik mendapati mangsa keluar dari rumah melulu berlari seorang diri menuju ke ruang tangga tingkat 39.
“Kemungkinan mangsa terjatuh dari situ. Kawasan tersebut ada kesan pecahan cermin tingkap dan telefon peribadi mangsa ada di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, rakaman percakapan waris abang kepada mangsa, memaklumkan mangsa merupakan pelajar jurusan penerbangan di sebuah akademi terletak di ibu kota.
Aidil berkata, abang mangsa memaklumkan mangsa tidak mempunyai masalah peribadi dan tidak mempunyai apa-apa penyakit.
“Mangsa merupakan seorang yang pendiam dan tidak suka berkongsi masalah dengan sesiapa. Mangsa tidak mempunyai teman wanita dan tidak mempunyai masalah kemurungan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk bedah siasat lanjut. Beberapa sempal DNA diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE





