KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) malam tadi bagi menjalani rawatan berkala.
Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff, berkata bekas Perdana Menteri itu keletihan kerana tidak cukup tidur selepas kehilangan isteri tercinta Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohamad Ali, Isnin lalu.
“Beliau keletihan dengan segala turun naik emosi, cuaca panas dan tidak cukup rehat. Semua itu bukan gabungan yang baik untuk seseorang berusia 101 tahun,” katanya ketika dihubungi.
Tun M dalam keadaan baik.
Sementara itu, anaknya Tan Sri Mokhzani ketika dihubungi berkata ayahnya dimasukkan ke IJN malam tadi bagi tujuan pemerhatian kesihatan.
“Dua hari lepas, keadaan adalah sangat menekan untuk Tun M, buat masa ini beliau dalam keadaan OK dan tidak dalam keadaan yang merisaukan,” katanya.
Terdahulu dilaporkan Dr Mahathir dimasukkan ke IJN selepas keadaan kesihatannya dikesan sedikit merosot selepas Majlis Tahlil dan Solat Isyak di rumahnya di The Mines, Seri Kembangan.
Bagaimanapun, pagi ini keadaan beliau dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Sementara itu, tinjauan BH di IJN mendapati, kenderaan polis yang ditugaskan mengiringi Tun M berada di lobi sayap belakang IJN bersama beberapa anggota dan pegawai polis Unit Tindakan Khas (UTK) dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
Difahamkan, Tun Dr Mahathir turut ditemani oleh anak dan cucunya dalam wad di CCU.
Pengebumian Dr Hasmah di Pusara Negara, Isnin lalu.
Isnin lalu, Dr Hasmah, meninggal dunia di IJN pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya.
Pengebumian Allahyarham diberi penghormatan menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
Allahyarham Dr Hasmah adalah antara wanita Melayu terawal yang bergelar doktor perubatan sebelum mencurahkan khidmat dalam bidang kesihatan awam negara.
Dilahirkan di Kampung Jawa, Klang, Selangor, pada 1926, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura, menerusi biasiswa kerajaan dan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.
Di situlah beliau bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum mereka berkahwin pada 1956.
Beliau bukan sahaja dikenali sebagai pendamping setia Dr Mahathir, malah turut meninggalkan jasa besar menerusi pelbagai usaha memperkasakan kesihatan ibu, kanak-kanak dan kesejahteraan masyarakat.
Sumber – Berita Harian





