KUALA LUMPUR – Penyanyi Hussain Jamilul, 23, menyimpan hasrat untuk merakamkan lagu duet bersama bapanya, Jamilul Hayat, 65, yang disifatkannya masih hebat menyanyi, terutama dalam membawakan nada tinggi.
Hussain yang muncul dengan lagu solo, Takkan Pernah berkata, dia sebenarnya sudah banyak kali menyuarakan impian itu kepada bapa, tetapi, belum memperoleh persetujuan.
“Sekiranya kalau ada peluang merakamkan lagu duet, saya ingin menyanyi bersama semua peserta Big Stage 2026 dan seorang lagi kalau boleh hendakdengan bapa saya sendiri, Pak Hayat.
“Sebab, untuk nyanyi ‘part’ tinggi saya hendak bagi kepada abah sahaja. Apatah lagi, semasa kami muncul bersama sebagai penyanyi undangan dalam program Kilauan Emas Selebriti baru-baru ini, habis saya kena ‘bantai’ dengan abah.
“Seronoknya abah menyanyi, sampai ‘part’ yang patut saya masuk pun, kena ‘tapau’ semua. Saya tanya, abah, bila nak part saya ni? Dia tak nak bagi. Tetapi, saya okay sahaja sebab mungkin abah pun dah lama tak menyanyi.
“Saya tahu sangat abah rindu juga nak menyanyi dan program Kilauan Emas Selebriti. Itu memang kena pun dengan jiwa abah. Alhamdulillah, saya gembira tengok semangat abah,” katanya.
Hussain yang ditemui pada Festival Novel Malaysia 2026 di Shah Alam, baru-baru ini, memaklumkan bapanya bertindak sebagai guru vokal yang banyak membantu dan melatihnya di rumah.
“Saya fikir senang belajar vokal dengan abah sebab kami tinggal serumah dan senang hendak atur masa. Pengalaman abah dalam nyanyian pun hebat, vokal dia masih bagus dan mantap.
“Cuma, hasrat saya nak merakamkan lagu duet dengan abah, belum dapat jawapan daripadanya. Sudah banyak kali saya cakap dengan dia, tapi abah kata tak apa, kamu pergilah menyanyi dulu. Mungkin juga abah nak bagi saya kumpul pengalaman,” katanya.
Selain dinobatkan juara Big Stage 2026, Hussain juga berjaya merangkul tempat kedua dalam program Talk To My Manager musim kedua (TTMM 2) pada 21 Jun lalu yang mengangkat bapanya sebagai pengurus.
Mengenai lagu Takkan Pernah, Hussain menyifatkan rezeki untuknya apabila lagu itu dipilih menjadi runut bunyi (OST) drama Sumpahan Mencintai terbitan Radius One dan diarahkan oleh Rashid Sibir.
Drama bersiri adaptasi novel popular ini dibarisi pelakon seperti Niezam Zaidi, Siti Hariesa, Uyaina Arshad, Yuna Rahim, Zaid Erakad, Sharul Kamal, Dilla Ahmad, Lydiawati dan Nafiez Zaidi.
Sumber – Berita Harian





