KUALA LUMPUR – Pengarah dan pelakon, Zul Huzaimy, lebih rela mengetepikan rakan seperjuangan yang berpengalaman daripada menawarkan bayaran rendah dan tidak setimpal berikutan kekangan kewangan produksi.
Zul, 47, menyedari keputusan itu mungkin menyebabkan ada rakan berkecil hati, namun, baginya, langkah berkenaan lebih wajar demi menjaga maruah mereka sebagai pelakon berpengalaman.
“Kalau saya tahu bajet tidak cukup, saya tidak panggil kawan-kawan ‘senior’. Kalau watak itu memang memerlukan pelakon berusia dan berpengalaman, kita sudah tahu berapa nilai mereka.
“Saya tidak mahu meletakkan mereka pada harga yang sangat rendah. Kalau ada bajet, saya minta penerbit keluarkan duit lebih jika perlu,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Bisikan Nafsu di TGV KLCC di sini, baru-baru ini.
Zul turut mendedahkan pernah mengeluarkan wang sendiri ketika mengarahkan drama Kenapa Aku Mencuri? bagi memastikan Allahyarham Lan Zailan dapat menjayakan watak yang dirasakan bersesuaian dengannya.
Katanya, pihak produksi ketika itu memaklumkan tidak mempunyai bajet mencukupi untuk mengambil Lan, menyebabkan dia sanggup menanggung kos tambahan berkenaan.
“Saya memang mahu Lan berlakon sebab watak itu kena dengan arwah. Penerbit kata tidak cukup duit, pengurus produksi pun beritahu tiada bajet lebih.
“Akhirnya saya diberitahu, kalau mahu, saya kena keluarkan duit sendiri. Jadi, disebabkan saya memang mahu, saya keluarkan duit sendiri untuk bayar arwah Lan,” katanya.
Zul yang berkecimpung dalam dunia seni sejak 1997 berkata, dia memahami jika ada rakan seperjuangan yang berkecil hati apabila tidak ditawarkan watak, namun, keputusan itu dibuat kerana tidak mahu pengalaman dan nilai mereka dipandang rendah.
“Saya pernah dipersoalkan kawan-kawan kenapa tidak panggil mereka berlakon. Saya jawab, saya tidak ada bajet.
“Kalau ada bajet, memang saya akan panggil mereka. Saya tidak mahu mereka yang berpengalaman ini bekerja dengan bayaran terlalu rendah,” katanya.
Menurut Zul, isu bayaran membabitkan pelakon ‘senior’ bukan perkara baharu dan perlu diberi perhatian kerana pengalaman serta nilai seseorang pelakon sewajarnya dihargai.
“Suatu hari nanti saya pun akan tua dan mungkin akan alami nasib sama seperti mereka. Jadi, siapa lagi yang akan bantu industri seni kalau bukan persatuan? Mungkin mereka boleh bantu perjuangkan hak anak seni.
“Selagi kita tidak ubah konsep nilai, perkara itu akan terus berlaku,” katanya.
Zul berkata, industri kreatif di luar negara mengamalkan sistem penilaian bagi menentukan kadar bayaran pelakon.
“Di luar negara, mereka ada satu sistem penilaian. Pelakon pada tahap lima, empat setengah, tiga atau dua dan itu yang menentukan nilai bayaran mereka.
“Tidak kira berapa umur sekalipun, apabila seseorang pelakon memegang sesuatu watak, dia mesti dibayar mengikut nilai berkenaan. Walaupun wataknya kecil, kalau dia berada pada tahap lima, dia tetap dibayar pada kadar itu.
“Bukan semakin lama, bayaran semakin rendah sampai RM150. Agak-agaklah. Saya pun tidak mahu perkara seperti itu berlaku,” katanya.
Sumber – Berita Harian





