KUALA LUMPUR – Walaupun rindu untuk kembali beraksi di set penggambaran, bekas pelakon Zahida Rafik mengesahkan dirinya sudah mengundurkan diri daripada dunia lakonan demi menumpukan tanggungjawab menjaga ibu bapa yang sudah uzur.
Zahida, 51, berkata penjagaan ibu bapanya yang kini berusia 80-an dan 90-an memerlukan perhatian penuh, sekali gus menyukarkan dirinya untuk membahagikan masa dengan jadual penggambaran yang padat.
“Memang saya sudah lama tinggalkan dunia lakonan. Perasaan rindu itu kadang-kadang ada, tapi bila fikirkan komitmen di lokasi penggambaran yang memakan masa hingga tak ada masa nak balik, semua itu buat saya rasa ‘pening kepala’.
“Fokus utama saya sekarang adalah menjaga ibu dan ayah. Walaupun ada bantuan pembantu rumah, saya sendiri yang menguruskan keperluan mereka,” katanya kepada Harian Metro.
Bercakap mengenai rakan seindustri yang masih memujuknya untuk kembali beraksi, Zahida mendedahkan kebanyakan penerbit dan pengarah ‘mengaku kalah’ dengan sikapnya yang sering menolak tawaran mereka.
Menurutnya, penerbit seperti sahabatnya, Erma Fatima juga antara yang kerap memujuknya untuk membuat kemunculan semula, namun usaha itu tetap tidak membuahkan hasil.
“Kak Erma dah banyak kali ajak dan pujuk, ‘Alah, buatlah sikit dalam dua tiga hari.’ Mula-mula saya teruja, tapi akhirnya tak jadi juga. Sampai dia pun kata, ‘sengkuang kau memang takkan datanglah!’.
“Sekarang ini dah tak ada tawaran. Orang yang kenal saya tahu saya selalu janji tapi akhirnya kata ‘Alamak, tak bolehlah’. Sampai mereka pun kata ‘sudah-sudahlah, lupakan sajalah,” katanya.
Mengimbas pembabitannya dalam arena perfileman, Zahida mengakui projek terakhir yang dijayakannya adalah filem usaha sama dengan tenaga produksi dari Indonesia.
“Filem terakhir saya ialah kerjasama Malaysia dan Indonesia yang mana saya sendiri bertindak sebagai penerbit. Tapi jangan tanya tajuk apa sebab saya dah lupa kerana ia sudah terlalu lama,” katanya.
Terdahulu, Zahida pernah menyinari industri seni tempatan menerusi beberapa filem popular antaranya Anak Mami The Movie, Mami Jarum, dan Bujang Senang.
Sumber – Berita Harian





