KUALA LUMPUR – Pelakon Puteri Sarah Liyana mengakui faktor sekufu menjadi antara ciri utama yang dicarinya dalam calon pasangan untuk perkahwinan akan datang, selain keserasian dari segi pemikiran dan komunikasi.
Menurut Puteri Sarah, dia berharap dapat bertemu pasangan yang mempunyai keserasian mentaliti dan mampu berkomunikasi dengan baik dalam membina kehidupan berumah tangga.
“Insya-Allah, untuk perkahwinan saya selepas ini, perkara itu (sekufu) yang saya mahukan.
“Saya tidak kata harta itu tidak penting kerana ia tetap diperlukan untuk membayar bil dan sebagainya. Namun, bagi saya, paling penting adalah mentaliti dan sefrekuensi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Khatam al-Quran, Bacaan Yasin dan Tahlil untuk Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Musollah Aisya, Titiwangsa, di sini, malam tadi.
Sementara itu, Puteri Sarah, 40, berkata, perkongsiannya mengenai pasangan sekufu yang sebelum ini mengundang salah faham dalam kalangan sesetengah pihak tidak ditujukan kepada mana-mana individu.
Sebaliknya, katanya, pandangan itu dibuat berdasarkan pemerhatiannya terhadap rumah tangga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Siti Hasmah yang disifatkannya sebagai pasangan sekufu.
“Tiada kena-mengena dengan sesiapa, saya cuma memberikan pendapat saja. Saya tengok Dr Mahathir dan Allahyarham Siti Hasmah adalah pasangan yang sekufu,” katanya.
Mengulas lanjut, bekas isteri kepada pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof itu berkata, istilah sekufu sering disalah tafsir apabila dikaitkan semata-mata dengan harta, pendidikan dan status.
“Orang selalu salah faham, mereka ingat sekufu itu adalah tentang harta, pendidikan atau status.
“Maksud sekufu itu sebenarnya ialah sama pemikiran, sefahaman dan boleh berkomunikasi,” katanya.
Pada masa sama, Puteri Sarah berkata, seseorang perlu mengenali bakal pasangan terlebih dahulu bagi menilai tahap keserasian sebelum membuat keputusan untuk melangkah ke fasa seterusnya.
Ibu kepada dua anak itu berkata, persamaan minat dan hobi juga boleh membantu pasangan mengenali satu sama lain dengan lebih dekat sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.
“Kita kena kenal bakal pasangan itu dahulu, sama ada berkongsi minat dan hobi yang sama atau tidak.
“Kita pun tak tahu pasangan kita selepas ini macam mana, tapi sebagai manusia kita kena mencari yang bersesuaian untuk kita,” katanya.
Puteri Sarah pernah mendirikan rumah tangga bersama Syamsul pada 8 Mac 2014, namun pasangan itu bercerai talak satu pada 14 Jun 2023.
Sumber – Berita Harian





