KUALA LUMPUR – Penerbit, Datuk A Aida menyifatkan bekas suaminya, penyanyi Datuk Ameng Spring sebagai antara figura seni yang layak menerima pengiktirafan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.
A. Aida atau Zaidah Awang berkata, pengalaman luas Ameng atau Wan Aminuddin Wan Ismail, 57, dalam industri muzik tanah air menjadi antara sebab kredibiliti penyanyi itu tidak boleh dipertikaikan.
Malah, A Aida mengakui tumpang gembira dengan pengiktirafan diterima penyanyi lagu Sampai Hati itu sehingga menitiskan air mata selepas dimaklumkan anak mengenai berita berkenaan.
“Menitis air mata saya melihat video Ameng sedang menjalani latihan untuk menerima pingat yang dikongsikan anak.
“Sememangnya dia layak menerima pengiktirafan itu kerana dia adalah salah seorang legenda tanah air,” katanya.
Menurut A Aida, hatinya pernah terdetik untuk melihat Ameng turut menerima gelaran berkenaan selepas menyaksikan beberapa rakan seperjuangan penyanyi itu seperti Datuk Awie dan Datuk Amy Search menerima pengiktirafan sama.
“Dulu lagi hati saya pernah terdetik, suatu hari nanti moga ada rezeki buat Ameng apabila melihat rakan-rakan seperjuangannya mendapat gelaran itu.
“Ameng adalah legenda. Lagu-lagunya begitu ikonik dan sering bermain di bibir peminat sehingga ada yang menitiskan air mata apabila mendengarnya.
“Jika Ameng kata dia tidak layak, saya orang pertama yang tidak bersetuju kerana pada pandangan saya, dia sangat layak. Gelaran itu memang wajar diberikan kepadanya,” katanya
Terdahulu, Ameng menerima DIMP daripada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-67 di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, Kuantan, hari ini.
Ameng dan A Aida mendirikan rumah tangga pada 1994 sebelum bercerai pada 17 Disember 2003.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Wan Az Aleesa dan Wan Azeva Natassha.
Sumber – Berita Harian





