PUTRAJAYA – Malaysian Relief Agency (MRA) melancarkan Tabung Kemanusiaan Bencana Nepal bagi menggerakkan bantuan kecemasan kepada masyarakat terjejas akibat bencana banjir besar yang melanda beberapa wilayah di Nepal baru-baru ini.
Presiden MRA, Khairil Annuar Khalid berkata, dana berkenaan akan digunakan bagi menyokong operasi bantuan kemanusiaan MRA dengan memberi keutamaan kepada keperluan asas komuniti terjejas pada fasa awal kecemasan.
“Antara bentuk bantuan yang dirancang termasuk bantuan makanan kepada keluarga terjejas dan kehilangan sumber makanan selain bekalan air bersih serta keperluan berkaitan air, sanitasi dan kebersihan.
“Selain itu, MRA turut merancang menyediakan kit kebersihan, kit bayi khususnya untuk bayi dan kanak-kanak kecil serta bantuan perubatan dan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Katanya, MRA juga merancang pembinaan musolla sementara bagi komuniti Muslim yang terjejas akibat bencana berkenaan.
“Sehubungan itu, MRA menyeru rakyat Malaysia, sektor korporat, institusi, masjid dan surau selain pertubuhan masyarakat sivil serta seluruh lapisan masyarakat untuk bersama-sama menyumbang kepada Tabung Kemanusiaan Bencana Nepal.
“Sumbangan boleh disalurkan kepada Malaysian Relief Agency Berhad melalui akaun Maybank 5640 9820 8020 dan Alliance Bank 6410 8001 002 4389,” katanya.
MRA berkata, pihaknya turut menyeru rakyat Malaysia bersama-sama menyatakan solidariti terhadap rakyat Nepal yang sedang melalui antara bencana paling buruk pernah melanda negara tersebut.
“MRA akan terus memantau perkembangan situasi serta menjalankan penilaian keperluan bersama rakan kerjasama di Nepal bagi menentukan bentuk intervensi yang paling sesuai,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE





