Bagi menyahut falsafah pelan strategik UiTM 2025, Pengajian Seni Liberal, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Perdana cawangan Selangor bakal menganjurkan sebuah program yang bertajuk Tangan Yang Melihat.
Koordinator Bidang Program Pengurusan Industri Kreatif, Dr. Hazlin Anita Zainal Abidin menyatakan, Orang Kelainan Upaya (OKU) merupakan komuniti marginal yang menjadi salah satu daripada entiti dalam masyarakat. Tanpa disedari, kelainan ketara antara komuniti ini dengan manusia yang normal menyebabkan terbentuk jurang dalam kehidupan seharian mereka. Justeru, keberadaan komuniti ini menuntut lebih keprihatinan dan kebijaksanaan daripada masyarakat dalam berinteraksi dengan mereka. Secara tidak lansung, pemilihan tema ini selaras dengan objektif untuk menghapuskan jurang yang terbentuk.
Beliau juga menambah, idea ini membolehkan pelajar lebih prihatin dengan nasib yang menimpa golongan minoriti ini, dan lebih serius dalam memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat. Dalam waktu yang sama, beliau berharap agar acara-acara seperti Bi-Cara, Pameran dan Permainan yang bakal di adakan dalam program ini dapat diteruskan bagi memastikan kemenjadian pelajar bukan sahaja dari sudut teori tetapi secara lebih holistik.
Program Tangan Yang Melihat ini merupakan medium perkongsian tentang meningkatkan kesedaran Amor Fati atau Redha dalam menghadapi kebahagiaan atau musibah. Program ini bakal dihadiri tetamu khas iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Salman al- Farisi dalam Program Bi-cara Mengimani Taqdir.
Manakala, Pameran Gema Cahaya pula merupakan satu pameran yang dianjurkan dengan kerjasama Malaysian Association for The Blind menawarkan program seperti pendidikan, latihan
dan pemulihan. Tujuannya adalah untuk mengenali perspektif orang buta dan mempamerkan tokoh OKU penglihatan di Malaysia. Turut juga akan diadakan permainan Pengembaraan Si Buta dari Gua Hantu, sebuah permainan interaktif yang membolehkan peserta mengalami keupayaan mobiliti OKU penglihatan.
Kesemua program ini bakal berlangsung pada 16 hingga 18 Januari 2025, di Ruang Ekperimental FiTA (REF), Dewan Seminar FiTA 1, dan Dewan Seminar FiTA 2.
Untuk rekod, KPSK akan terus berusaha untuk mewujudkan graduan yang seimbang dan kompetitif di peringkat nasional dan antarabangsa, serta mengembangkan jaringan strategik dengan alumni dan industri.





