IPOH – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melihat potensi kerjasama dengan pihak Jepun hasil lawatan delegasi negara itu ke Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah di sini.
Lawatan itu dilakukan Menteri Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun, Ueno Kenichiro yang mahu melihat sendiri pusat rehabilitasi terbesar di Asia Tenggara tersebut.
Menurut Kenichiro, beliau kagum dengan kecanggihan fasiliti dan teknologi serta sistem sokongan vokasional yang tersedia di pusat berkenaan.
“Saya berpendapat ini merupakan satu inisiatif yang sangat maju. Saya rasa di Jepun juga tidak banyak kemudahan yang menjalankan program rehabilitasi berpusat dalam skala yang sebesar ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ahli Lembaga Perkeso, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini.
Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah yang terletak di Meru Raya mula beroperasi pada Julai 2025 dan dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Jun lalu.
Selain teknologi pemulihan fizikal, pusat itu turut dilengkapi teknologi bertaraf dunia bagi membantu lebih ramai individu untuk pulih dan kembali bekerja termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Kenichiro juga berbangga apabila melihat teknologi Jepun turut diguna pakai di pusat tersebut dan melihat itu sebagai satu bentuk hubungan baik antara negaranya dan Malaysia.
Beliau merupakan pemimpin luar pertama berstatus menteri yang melawat pusat rehabilitasi tersebut, dengan menjadikan kunjungan itu sebagai sebahagian programnya bersempena pertemuan dengan rakan-rakan sejawat ASEAN di Kuala Lumpur.
Mengulas mengenai perkara itu, kedua-dua Subahan dan Mohd. Annuar melihat kehadiran pihak Jepun itu boleh merapatkan kerjasama antara fasiliti Perkeso dengan Negara Matahari Terbit itu.
Sumber – KOSMO! ONLINE





