Thursday, July 2, 2026
HomeBERITALangit Malam Akan Jadi 4 Kali Ganda Lebih Terang

Langit Malam Akan Jadi 4 Kali Ganda Lebih Terang

PARIS – Sejumlah 1.7 juta satelit yang disasarkan syarikat-syarikat aeroangkasa  untuk dilancarkan ke orbit Bumi dalam tahun-tahun akan datang akan membawa ‘akibat buruk terhadap astronomi’, demikian  menurut amaran kajian baharu semalam.

Balai Cerap Selatan Eropah (ESO) yang menjalankan penyelidikan berkaitan berkata,  rancangan untuk membanjiri Bumi dengan satelit besar dan sangat terang merupakan ‘ancaman serius’ terhadap teleskop pemerhati  alam semesta.

Bagi mengekalkan keupayaan manusia meneroka langit malam dengan betul, ESO meminta  had maksimum 100,000 satelit mengorbit Bumi.

Kajian itu adalah yang pertama mengira sejauh mana kelompok  satelit besar dan sangat terang yang dirancang akan menjejaskan pemerhatian astronomi dengan menjadikan langit malam lebih cerah.

Jumlah satelit yang mengorbit Bumi kini mencapai 14,000 selepas melonjak sejak beberapa tahun lalu, kebanyakannya merupakan kumpulan satelit  internet Starlink milik bilionair Elon Musk.

Tetapi itu hanyalah permulaan.

Syarikat SpaceX milik Musk mengumumkan rancangan untuk melancarkan lebih sejuta satelit menjelang 2028 untuk berfungsi sebagai pusat data yang memacu letusan kecerdasan buatan (AI).

Projek lain seperti rancangan ‘Cinnamon’  oleh syarikat permulaan E-Space dan buruj satelit  China, CTC-1 serta CTC-2 akan menambah ratusan ribu lagi satelit yang berputar mengelilingi planet Bumi.

Secara keseluruhan, lebih 1.7 juta satelit tidak lama lagi akan menerangi langit malam, mengaburkan atau menutup pandangan teleskop di daratan.

“Apabila satelit melintasi apa yang kita perhatikan, ia menghasilkan jalur terang pada imej teleskop,  melenyapkan apa sahaja di belakangnya,” kata ahli astronomi ESO,  Olivier Hainaut.

Kajian itu diterbitkan dalam jurnal  Astronomy & Astrophysics.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia  telah berlaku  tetapi masih boleh diurus.

“Tetapi jika kita beralih daripada 14,000 kepada 1.7 juta satelit, kita benar-benar akan menghadapi masalah,” katanya kepada AFP

Kata Hainaut, sama ada anda teleskop bumi yang berada di Perancis, Gurun Sahara atau Chile, langit malam akan menjadi ‘tidak lagi jelas’, sebaliknya menyerupai langit yang dilihat di kota-kota raya’.

“Satelit akan menjadi satu-satunya ‘bintang’ yang kelihatan di langit malam,” demikian menurut ESO.

Jumlah satelit yang begitu banyak akan menjadikan keseluruhan langit malam sehingga empat kali lebih terang daripada biasa, tambahnya.

Sumber – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Gerak Khas 2.0 Beri Nafas Baharu Buat Francais Drama Polis Ikonik...

0
KUALA LUMPUR, 30 JUN 2026 – Selepas lebih dua dekad mencipta sejarah dalam landskap drama tempatan dan lima tahun meninggalkan kerinduan dalam kalangan peminat,...

CATEGORIES