Kuala Lumpur: Pelaksanaan Kerangka Peraturan Pesanan Elektronik Komersial Tidak Diingini (UCEM) dilihat sebagai satu langkah progresif dalam menangani cabaran era ekonomi digital semakin kompleks dan berisiko.
Inisiatif diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu melindungi pengguna daripada gangguan iklan tanpa keizinan, mengurangkan risiko terjerumus dalam perangkap penipuan digital seperti skim pelaburan palsu serta penipuan pautan berbahaya.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Malaya (UM), Prof. Madya. Dr. Saaidal Razalli Azzuhri, kerangka itu dijangka memainkan peranan penting dalam membina ekosistem digital lebih selamat, bersih, dan dipercayai.
Saaidal Razalli melihat kerangka berkenaan sebagai langkah baik membanteras buli siber.
Katanya, kerangka itu bertindak memberi manfaat kepada pengguna juga penyedia perkhidmatan, pengiklan dan penggubal dasar.
“Pengguna semakin terdedah kepada pelbagai bentuk gangguan termasuk penipuan siber, penyalahgunaan data peribadi serta buli siber melalui mesej komersial tidak diingini seperti spam dan mesej manipulatif.
“Tindakan tepat pada masanya bagi membendung penyalahgunaan platform digital. Ruang digital perlu dikawal pihak berkaitan sebelum ia jadi semakin liar.
“Kerangka UCEM adalah asas kawal selia sangat penting untuk melindungi pengguna biasa, termasuk golongan rentan seperti remaja dan warga emas,” katanya.
Selain itu, pemilik bersama aplikasi Swifty, Alfina Bashir, berkata kerangka berkenaan dapat menangani buli siber berasaskan mesej komersial.

Alfina berpendapat pelaksanaan Kerangka UCEM bantu kurangkan risiko penipuan dalam talian.
“Selain iklan dan promosi tidak diminta, buli siber berasaskan komunikasi elektronik juga semakin membimbangkan pengguna dan pemain industri sendiri.
“Dengan pelaksanaan Kerangka UCEM, sebarang mesej yang dihantar tanpa keizinan dan tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan, termasuk denda dan sekatan ke atas penyedia perkhidmatan,” ujarnya.
Sebagai Pemilik Agensi Pemasaran TikTok yang aktif dalam pemasaran digital, katanya usaha dan komitmen MCMC untuk melindungi pengguna langkah positif.
“Sekurang-kurangnya ada satu tahap perlu penggiat industri digital patuhi dan dapat mengurangkan potensi pengguna ditipu.
”Penjual digital juga akan lebih bertanggungjawab dengan adanya kerangka baru.
“Dari segi industri pemasaran pula, kerangka ini dapat bantu lindungi agensi dan jenama yang memang menjalankan pemasaran cara betul,” ujarnya.





