KUALA LUMPUR: Seorang doktor dari Malaysia berusia 60 tahun yang dilaporkan hilang ketika mendaki di pergunungan Dolomites, Itali ditemui meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tebing.
Mangsa yang dikenal pasti sebagai Dr Khaw Bee Ling, seorang pakar perubatan dari Metro Specialist Hospital di Sungai Petani, Kedah dilaporkan hilang pada 18 Julai lalu ketika mendaki di Croda del Becco, sebuah gunung yang terletak di antara Ampezzo dan Braies Dolomites.
Mengikut beberapa saluran berita Itali, Dr Khaw sedang mendaki bersama seorang rakannya apabila mereka memutuskan untuk berpisah haluan.
Ketika rakannya berpatah-balik, Dr Khaw meneruskan pendakian ke puncak.
Pada satu ketika, Dr Khaw sempat menghantar mesej menyatakan beliau sesat dan memerlukan bantuan, namun selepas itu tiada lagi sebarang komunikasi diterima.
Rakannya kemudian menghubungi pihak berkuasa dan satu operasi pencarian besar-besaran dilancarkan.
Pasukan penyelamat menggunakan helikopter, dron dilengkapi kamera terma, anjing pengesan dan beberapa pasukan penyelamat gunung, dan usaha pencarian diteruskan sepanjang malam.
Mayatnya ditemui oleh sebuah helikopter di dasar tebing, tersepit di celah batu pada keesokan harinya iaitu pada 19 Julai.
La Voce del Trentino melaporkan, pihak berkuasa percaya mangsa tersasar dari laluan yang ditandakan di sebelah Belluno gunung itu dan secara tidak sengaja tergelincir di kawasan batu yang curam dan licin, lalu terjatuh hampir 100 meter.
Lokasi terakhir telefon mangsa berjaya dikesan menggunakan peranti khas pengesan mudah alih, IMSI catcher, yang membantu mengecilkan kawasan pencarian.
Mayat Dr Khaw dipindahkan ke rumah mayat di Cortina d’Ampezzo.
Pihak berkuasa Itali akan menguruskan prosedur yang diperlukan.
Pemergian Dr Khaw disahkan awal minggu ini oleh majikannya yang menggambarkan beliau sebagai seorang rakan sekerja yang dihormati dalam satu hantaran di Instagram.
Sumber – AGENSI





