Wednesday, July 15, 2026
HomeBERITADividen LTAT Dijamin Meningkat, Kesejahteraan Warga ATM Terus Jadi Keutamaan

Dividen LTAT Dijamin Meningkat, Kesejahteraan Warga ATM Terus Jadi Keutamaan

KUANTAN – Kementerian Pertahanan memberi jaminan untuk memastikan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan syarikat-syarikat pelaburannya berada dalam kedudukan kewangan kukuh, sekali gus membolehkan kadar pulangan dividen kepada pencarum sentiasa meningkat setiap tahun.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kestabilan pulangan itu perlu dipertahankan sebagai membalas pengorbanan besar warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), meskipun berdepan ketidaktentuan situasi ekonomi global.

Menurutnya, setiap sen dana dilaburkan pengurusan LTAT melalui pelbagai syarikat strategik adalah bersandarkan amanah dan titik peluh para anggota ATM yang setia berkhidmat demi keselamatan negara.

“Sebagai Menteri, saya akan pastikan LTAT dan syarikat-syarikatnya sentiasa berada dalam keadaan baik, dan saya akan pastikan dividen yang diberi setiap tahun sentiasa meningkat … walau apa pun keadaan ekonomi yang dihadapi oleh negara, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Jelajah Wira LTAT 2026 Edisi Pantai Timur di Pangkalan Udara Kuantan, di sini.

Hadir sama Pengerusi LTAT, Tan Sri Azizan Ariffin dan Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi.

PERNAMA Perlu Main Peranan Tangani Kos Sara Hidup

Mengulas lanjut mengenai usaha menjaga kebajikan warga ATM, Mohamed Khaled menjelaskan, kementeriannya menerusi LTAT sentiasa meletakkan agenda kesejahteraan sebagai tonggak utama bagi memastikan tahap kesiagaan anggota berada pada tahap optimum.

Jelasnya, kesiagaan ketenteraan tidak hanya bergantung kepada pemilikan aset-aset canggih semata-mata, tetapi turut bersandarkan kepada kualiti hidup anggota dan keluarga mereka yang lebih terjamin.

“Antara langkah proaktif diambil termasuklah memperkasakan peranan Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) dalam menawarkan barangan keperluan harian dan barangan basah pada harga yang jauh lebih rendah berbanding ditawarkan di pasaran luar kem.

“Kehadiran PERNAMA bukan hanya sebagai kemudahan fizikal untuk anggota, tetapi fungsi utamanya adalah sebagai pelindung daripada impak kenaikan kos sara hidup akibat krisis ekonomi atau rantaian bekalan global,” ujarnya sambil menambah kerjasama strategik antara PERNAMA dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor akan terus ditambah baik.

Selain aspek kos sara hidup, Kementerian Pertahanan juga komited melaksanakan pelbagai program kesejahteraan lain secara berperingkat, merangkumi penyelenggaraan perumahan, penyediaan kediaman baharu, pengurusan kewangan, serta jaminan pendidikan dan latihan kemahiran bagi anak-anak serta isteri anggota tentera.

Pembangunan ‘Angkatan Masa Hadapan’ Tangani Ancaman Semasa

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled menyeru seluruh warga ATM untuk sentiasa meningkatkan keupayaan diri dan bersedia mendepani landskap keselamatan global yang semakin kompleks, dinamik, dan sukar dijangka.

Beliau memaklumkan Kementerian Pertahanan sedang giat membangunkan konsep Angkatan Masa Hadapan – satu langkah strategik dalam melahirkan angkatan tentera lebih moden, pintar, dan bersepadu merentasi semua cabang perkhidmatan sivil dan ketenteraan.

“Ancaman hari ini bukan lagi sekadar peperangan konvensional. Kita berhadapan dengan peperangan hibrid yang menggabungkan serangan siber, manipulasi maklumat, propaganda, bencana alam, serta tekanan ekonomi secara serentak.

“Malah, kita juga berdepan peperangan kognitif yang mensasarkan pemikiran serta persepsi rakyat bagi memecah-belahkan keharmonian masyarakat. ATM tidak boleh bergerak dengan berkesan jika negara tidak stabil atau rakyat huru-hara,” tegas beliau.

Menyedari kedudukan geopolitik Malaysia dikelilingi laluan maritim kritikal dunia seperti Selat Melaka dan Laut China Selatan, beliau mahu pendekatan strategik seperti peperangan asimetrik dikuasai bagi merapatkan jurang kelengkapan ketenteraan dengan kuasa-kuasa luar.

“Kekuatan Angkatan Masa Hadapan ini pada akhirnya bukan hanya terletak pada kecanggihan aset dan teknologi, tetapi paling utama ialah doktrin dan kesediaan setiap anggota itu sendiri sebagai tunjang pertahanan negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Mulut Orang Tak Boleh Tutup, Doakan Yang Terbaik Untuk Dia’

0
KUALA LUMPUR – Pelakon dan pempengaruh, Imranul Effendy memilih untuk tidak mencampuri urusan peribadi rakan baiknya yang dianggap seperti kakak sendiri, Norreen Iman susulan...

CATEGORIES