Kuala Lumpur, 28 Julai 2026 – Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) mengalu-alukan pelantikan Yang Berbahagia Dato’ Seri Dr. Vaseehar Hassan Abdul Razack sebagai Pengerusi syarikat.
Dato’ Seri Dr. Vaseehar membawa lebih empat dekad pengalaman cemerlang dalam bidang perbankan, perbankan pelaburan, kewangan Islam, tadbir urus korporat, kepimpinan lembaga pengarah serta bimbingan eksekutif. Sepanjang kerjayanya yang gemilang, beliau pernah menganggotai lembaga pengarah pelbagai institusi kewangan dan memainkan peranan penting dalam membentuk landskap perbankan Islam di Malaysia.
Dato’ Seri Dr. Vaseehar memulakan kerjayanya dalam bidang perbankan bersama Aseambankers Malaysia Berhad pada tahun 1980 dengan pengkhususan dalam perbankan pelaburan, perbankan korporat dan kewangan korporat. Sepanjang tempoh tersebut, beliau memberi khidmat nasihat berkaitan penggabungan dan pengambilalihan syarikat, tawaran awam permulaan (IPO), penstrukturan semula korporat, pembiayaan projek serta penerbitan Sukuk, sekali gus menyediakan penyelesaian kewangan strategik merentasi pelbagai industri. Pengalaman luas ini menjadi asas kepada kepimpinan cemerlang beliau dalam sektor perkhidmatan kewangan Malaysia.
Beliau kemudiannya menyertai Dallah Al Baraka Malaysia sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, di mana beliau mengetuai aktiviti pelaburan kumpulan itu di Malaysia selama hampir dua dekad. Dalam tempoh tersebut, beliau berjaya merundingkan pelaburan strategik dalam Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Utama Malaysia Berhad, selain menganggotai lembaga pengarah pelbagai syarikat pelaburan dalam sektor perbankan, penjagaan kesihatan, perladangan, pembuatan, perdagangan dan hartanah.
Sebagai Pengerusi Utama Merchant Bank, Dato’ Seri Dr. Vaseehar memainkan peranan penting dalam usaha penstrukturan semula dan pemulihan institusi itu ketika Krisis Kewangan Asia. Susulan penggabungan Bank Utama dan RHB Bank, beliau turut menganggotai lembaga pengarah beberapa syarikat dalam Kumpulan Perbankan RHB serta menyumbang secara signifikan kepada proses transformasi kumpulan tersebut. Beliau juga merupakan Pengerusi pengasas RHB Islamic Bank, bank Islam pertama di dunia yang ditubuhkan daripada operasi perbankan Islam sebuah bank konvensional.
Di luar bidang perbankan eksekutif, Dato’ Seri Dr. Vaseehar terus menyumbang secara meluas dalam aspek kepimpinan korporat dan tadbir urus sebagai ahli lembaga pengarah bebas, jurulatih eksekutif serta fasilitator pembangunan kepimpinan. Beliau kini menganggotai lembaga pengarah Ingress Corporation Berhad dan Saturna Sdn. Bhd., selain berkhidmat sebagai Senior Associate di Kets de Vries Institute, London, serta Executive Coach di INSEAD Executive Centre.
Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Perniagaan dan Operasi Kumpulan AmanahRaya, Jack Yap Ngee Heong, mengalu-alukan pelantikan tersebut dan berkata syarikat yakin akan mendapat manfaat daripada pengalaman kepimpinan serta pandangan strategik luas yang dimiliki Dato’ Seri Dr. Vaseehar.
“Kami berbesar hati mengalu-alukan Yang Berbahagia Dato’ Seri Dr. Vaseehar Hassan Abdul Razack sebagai Pengerusi AmanahRaya. Pengalaman luas beliau dalam bidang perbankan, perbankan pelaburan, kewangan Islam, tadbir urus korporat, kepimpinan lembaga pengarah dan pembangunan kepimpinan akan menjadi aset yang amat bernilai ketika AmanahRaya terus memperkukuh kedudukannya sebagai Pemegang Amanah Awam yang dipercayai di Malaysia.
“Kekayaan pengalaman serta pandangan strategik beliau akan memberikan panduan yang kukuh kepada Lembaga Pengarah dan pihak Pengurusan dalam usaha memacu pertumbuhan mampan, memperkukuh tadbir urus serta memberikan nilai yang lebih besar kepada semua pihak berkepentingan, di samping terus komited memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang sentiasa berkembang,” katanya.
Dato’ Seri Dr. Vaseehar memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Sains Pengurusan daripada Vrije Universiteit Amsterdam, Belanda, selain kelulusan pascasiswazah daripada INSEAD, HEC France dan Aston Business School. Beliau juga merupakan Fellow Institut Pengarah Korporat Malaysia (Institute of Corporate Directors Malaysia).





