KUALA TERENGGANU: Seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terselamat daripada kemalangan bas di Jalan Jeli-Gerik berdekatan Tasik Banding, Perak pagi tadi, selepas dia dimasukkan ke hospital akibat demam dipercayai berpunca daripada jangkitan leptospirosis.
Perkara itu dikongsi seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Are Da Mat Nuar yang memaklumkan adiknya sepatutnya menaiki bas berkenaan, namun terpaksa dimasukkan ke wad Hospital Besut sehari sebelum kejadian.
“Adik saya seorang daripada pelajar UPSI yang sepatutnya naik bas ini. Namun, tengah hari semalam dia masuk wad di Hospital Jerteh (Besut) sebab demam, disyaki ada jangkitan kencing tikus.
“Semoga dipermudahkan urusan semua,” tulisnya dalam ruangan komen di sebuah hantaran berkaitan kemalangan berkenaan.
Terdahulu, 15 pelajar UPSI disahkan maut dan tujuh parah apabila bas yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke universiti itu terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Jeli – Grik berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi tadi.





