Saturday, July 12, 2025
HomeBERITA52 Pekerja Bersesak Tidur Dalam Kontena, Berpanas, Kotor Serta Kongsi Dua Tandas

52 Pekerja Bersesak Tidur Dalam Kontena, Berpanas, Kotor Serta Kongsi Dua Tandas

SEREMBAN, 4 Oktober- Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) menyerbu sebuah kilang menghasilkan tilam kerana tidak menyediakan asrama yang selesa kepada pekerjanya, semalam.

Dalam operasi ‘Op Matela’ tersebut, 13 kontena diperiksa dipercayai digunakan sebagai penginapan kepada 52 pekerja warga asing.

Dipercayai, asrama berkenaan sudah beroperasi selama 15 tahun secara ‘tidak sah’ kerana tidak mempunyai perakuan penginapan daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Selain keadaan tempat tidur yang tidak terurus, kontena yang digunakan sebagai tempat menginap itu juga tidak mempunyai pengudaraan yang baik.

Lebih mengejutkan, hanya dua tandas disediakan untuk kegunaan semua pekerja berkenaan.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Ts.Mustapha Sakmud, dalam operasi berkenaan pihaknya mendapati, pemilik premis gagal menyediakan penginapan selesa dengan menggunakan kontena sebagai penginapan kepada pekerjanya.

“Selain daripada ruang yang panas, tempat masak dan mandinya juga tidak diurus dengan baik dan ini menimbulkan ketidakselesaan kepada pekeja-pekerja.

“Jadi kita harap para majikan mengambil iktibar dan mesti mematuhi akta-akta yang telah digubal dan digariskan supaya kebajikan pekerja terjaga,”katanya.

Tambahnya, keadaan struktur kontena dua tingkat yang dihuni sekurang-kurangnya tiga pekerja bagi setiap kontena terbabit agak berbahaya kerana sudah berkarat dan reput selain kotor serta sistem pengaliran yang tidak sempurna.

Jelas Mustapha, walaupun majikan dibenarkan menjadikan kontena sebagai asrama pekerja, mereka juga perlu mengikut spesifikasi ditetapkan dan paling penting mendapat perakuan.

“Asrama kilang yang kita periksa hari ini tidak mendapat perakuan penginapan daripada JTKSM sejak 15 tahun lalu dan majikan didapati melakukan pelanggaran terhadap Akta 446 bawah JTK,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas mengetuai Op Matela yang turut disertai jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Polis DiRaja Malaysia.

Antara yang diperiksa adalah struktur pembinaan serta sistem pendawaian dan pengudaraan.

Sebanyak tiga kertas siasatan dijangka dibuka bawah Seksyen 24D Akta 446 dan tindakan bawah agensi lain turut akan diambil.

Mustapha turut menegaskan, kementeriannya akan terus mempergiat penguatkuasaan selaras peruntukan perundangan dalam bidang kuasa yang dijalankan oleh semua jabatan dan agensi di bawahnya.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Mbappe, Cristiano Ronaldo Buat Pilihan Sama

0
PARIS – Kylian Mbappe dan Cristiano Ronaldo miliki pilihan yang sama dalam memilih siapa yang layak merangkul Ballon d’Or 2025 dengan kedua-duanya menyatakan sokongan...

CATEGORIES