KUALA LUMPUR – Atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin, kini ditidurkan bagi membolehkan pihak perubatan meneruskan rawatan intensif susulan kecederaan serius yang dialaminya dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya SUKE.
Menurut kenyataan rasmi Majlis Sukan Negeri Perlis, Hafizuddin mengalami patah tulang tangan kanan selain salur darah pada bahagian berkenaan tidak lagi berfungsi.
Dia turut mengalami kecederaan kecil di kepala.
“Keadaan kecederaan tangan kanannya amat serius sehingga pihak perubatan sedang mempertimbangkan tindakan pembedahan pada hari ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berharap segala urusan rawatan Hafizuddin atau dikenali Udin itu dipermudahkan dan diberikan kesembuhan segera.
Katanya, keutamaan ketika ini adalah memastikan Hafizuddin mendapat sokongan moral sewajarnya sepanjang menghadapi dugaan berkenaan.
“Saya secara peribadi dan bagi pihak seluruh keluarga besar PABM ingin merakamkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam atas kejadian kemalangan yang menimpa atlet angkat berat kebangsaan, Hafizuddin Roslin atau lebih dikenali sebagai Udin, di Lebuhraya SUKE, Kuala Lumpur pada 11.28 malam, 16 November 2026,” katanya.
Menurut Ayub, Hafizuddin adalah antara atlet yang banyak menyumbang kepada kecemerlangan sukan angkat berat negara di pentas antarabangsa, termasuk kejayaan meraih pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Jelasnya, atlet itu bukan sahaja berjaya mengharumkan nama negara, malah memiliki semangat juang, disiplin dan komitmen tinggi dalam sukan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berharap seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga sukan, dapat bersama-sama menitipkan doa serta memberikan sokongan dan semangat kepada Hafizuddin serta keluarganya.
Sumber – Berita Harian





