Thursday, November 12, 2026
HomeSUKANPerlumbaan F1 Qatar, Abu Dhabi Diteruskan Walaupun Ketegangan Serantau

Perlumbaan F1 Qatar, Abu Dhabi Diteruskan Walaupun Ketegangan Serantau

LONDON – Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan dua perlumbaan terakhir perlumbaan Formula Satu (F1) 2026 di Grand Prix (GP) Qatar dan Abu Dhabi akan berlangsung mengikut jadual meskipun ketegangan di Asia Barat masih berterusan.

Presidennya, Mohammed Ben Sulayem berkata, badan induk itu bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan GP Qatar pada 29 November dan GP Abu Dhabi pada 6 Disember bagi menutup tirai musim ini.

“Kami bersedia untuk Qatar dan Abu Dhabi. Kami komited sepenuhnya untuk menganjurkan dua hujung minggu perlumbaan Grand Prix yang hebat serta penutup yang luar biasa bagi Kejuaraan Dunia Formula Satu FIA,” katanya.

Pengesahan itu hadir selepas kebimbangan terhadap tahap keselamatan di rantau berkenaan sebelum ini menyaksikan GP Arab Saudi dibatalkan, manakala perlumbaan di Bahrain ditangguhkan sebelum dipindahkan ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Malaysia.

Keputusan FIA itu selari dengan pendirian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) F1, Stefano Domenicali yang bulan lalu menyatakan keyakinan kedua-dua perlumbaan berkenaan mampu diteruskan, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan Imola di Itali menjadi lokasi pengganti.

“Kami tidak boleh membiarkan Imola terus menunggu tanpa kepastian. Oleh itu, kami memaklumkan kepada pihak pengurusan litar hari ini bahawa khidmat mereka tidak lagi diperlukan menjelang penghujung musim,” katanya.

Bagaimanapun, F1 menegaskan keselamatan semua pihak kekal menjadi keutamaan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya sekiranya keadaan di rantau itu merosot menjelang perlumbaan.

Sumber – AGENSI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Lebih 16,000 Peranti Percuma Diagih Kepada 257 Sekolah Antara 2022 Hingga...

0
KUALA LUMPUR – Sebanyak 16,230 peranti pendidikan digital percuma, merangkumi komputer riba, Chromebook dan tablet, diagihkan kepada 257 sekolah di seluruh negara menerusi 133...

CATEGORIES