KUALA LUMPUR – Dilabel pelakon ‘kayu’ bukan sesuatu yang menjejaskan keyakinan pelakon Jazmy Juma, sebaliknya kritikan itu dianggap sebagai teguran berharga untuk memperbaiki mutu lakonannya.
Jazmy, 28, berkata, dia bersyukur apabila ada penonton berani menyuarakan kelemahannya secara terbuka kerana bukan mudah untuk seseorang berterus-terang mengenai kekurangan orang lain.
Katanya, kritikan berkenaan menjadi ruang untuk dia bermuhasabah, mengenal pasti kelemahan diri dan terus belajar bagi meningkatkan kemampuan sebagai pelakon.
“Saya rasa bersyukur dan gembira apabila ada yang memberikan komen serta kritikan terhadap kelemahan saya.
“Bukan mudah untuk orang berterus-terang, malah saya langsung tidak mengambil hati. Kritikan itu sebenarnya menjadi cermin untuk saya sedar diri, belajar lagi dan keluar daripada zon selesa,” katanya.
Jazmy ditemui pada sidang media drama terbaharu, Dua Nyawa, untuk saluran iQIYI, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Jazmy berkata, dia tidak berasa tersinggung kerana menganggap komen berkenaan masih dalam batas teguran dan tidak disampaikan dengan kata-kata yang keterlaluan.
“Jujur, saya tidak terasa, sebaliknya bersyukur kerana Allah menggerakkan hati individu itu untuk berkata demikian supaya saya sedar bahawa pada pandangan segelintir orang, lakonan saya masih belum cukup bagus.
“Setakat komen mengatakan saya kayu, apalah sangat, melainkan jika komen itu dibuat secara kasar. Kalau begitu, mestilah saya berasa sedih,” katanya.
Jazmy percaya pandangan penonton mampu membantunya mengenal pasti kekurangan yang mungkin tidak disedari selama ini, sekali gus menjadi dorongan untuk terus memperbaiki mutu lakonan.
Baginya, seseorang pelakon tidak seharusnya terlalu selesa dengan pencapaian sendiri sehingga mengetepikan pandangan orang lain, termasuk kritikan terhadap mutu persembahan.
“Saya tidak boleh duduk dalam zon selesa. Kalau saya mengabaikan komen serta kritikan orang, rugilah saya.
“Kenapa saya tidak mahu menerima apa yang orang cakap? Kenapa saya tidak mahu membetulkan apa yang salah? Kita tidak boleh melihat diri sendiri melainkan melalui cermin yang menunjukkan keadaan sebenar.
“Jadi, kalau tiada cermin, orang lain perlu memberitahu kita apa yang salah dan tidak betul,” katanya.
Terdahulu, tular video memaparkan Jazmy membaca komen netizen yang bukan sahaja membandingkan lakonannya dengan seorang pelakon terkenal, malah mendakwa lakonannya lebih kaku. Perkongsian itu mencetuskan perbualan dalam kalangan pengguna media sosial.
Sumber – Berita Harian





