KUALA LUMPUR -Pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia, mengambil tindakan undang-undang dengan memohon injunksi interim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghalang bapa dan kakaknya daripada membuat keputusan tertentu berhubung urusan kewangan dan pengurusan syarikat LZJ Management sepanjang pertikaian undang-undang itu berlangsung.
Permohonan itu difailkan menerusi saman bertarikh 2 Julai 2026, dengan menamakan bapanya iaitu Lee Chee Hin dan kakaknya, Lee Zii Yii, Zii Jia.
Zii Jia turut menamakan adiknya, Lee Tao serta LZJ Management sebagai responden dalam prosiding itu.
Selain itu, beliau juga memohon supaya Chee Hin dan Zii Yii, yang juga pengarah syarikat, dilarang meluluskan fi pengarah, elaun, bonus atau manfaat kewangan lain untuk diri sendiri selain gaji bulanan masing-masing.
Beliau turut memohon sekatan terhadap keputusan berkaitan pelantikan dan penyingkiran pengarah, pelantikan setiausaha syarikat, pelupusan aset utama, penerbitan saham baharu serta perubahan struktur pemilikan saham tanpa kelulusan mahkamah.
Menurut permohonan itu, Zii Jia mendakwa memiliki 90 peratus kepentingan dalam LZJ Management, manakala Zii Yii memegang sembilan peratus dan Lee Tao satu peratus.
Selain injunksi interim, pemain itu turut memohon perintah mahkamah supaya mesyuarat agung luar biasa diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan pengurusan dan tadbir urus syarikat.
Sumber – Kosmo! Online





