Tuesday, October 13, 2026
HomeHIBURANYusof Haslam Maafkan Tisha, Peluang Kedua Bergantung PDRM

Yusof Haslam Maafkan Tisha, Peluang Kedua Bergantung PDRM

PETALING JAYA – Penerbit drama bersiri kepolisan Gerak Khas 2.0, Datuk Yusof Haslam, sudah memaafkan pelakon Tisha Shamshir yang terpalit kontroversi berkaitan kes dadah.

Yusof berkata, permohonan maaf dibuat Tisha secara terbuka sebelum ini memadai baginya, sekali gus tidak wajar isu berkenaan terus diperbesarkan sehingga mengundang kecaman.

“Tiada dendam. Saya sudah lama memaafkan dia. Saya cuma berharap dia dapat belajar daripada kesilapan seterusnya kembali menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Bagi saya, benda sudah lepas. Dia pun sudah meminta maaf, jadi kita jangan panjangkan lagi jadikan isu. Fasal kes di mahkamah, yang itu biar ditentukan undang-undang.

“Takkan kita tidak boleh maafkan sesama insan. Setiap orang pastinya mempunyai khilaf masing-masing,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menurutnya, setiap individu juga berhak diberikan ruang untuk memperbaiki diri selepas melakukan kesilapan, asalkan benar-benar mengambil iktibar daripada perkara yang berlaku.

Pada masa sama, pemilik syarikat Skop Productions itu turut menasihati Tisha supaya mengubah cara hidup, selain menjadikan pengalaman lalu sebagai ruang untuk memikirkan kesan terhadap keluarga.

Yusof juga berharap agar pelakon terbabit bermuhasabah serta menjadikan episod hitam tersebut sebagai titik perubahan untuk membina kehidupan yang lebih baik.

“Semoga apa yang berlaku menjadi pengajaran, bukan hanya kepada dirinya, malah kepada orang lain agar jangan silap langkah.

“Jika seseorang itu mahu berubah ke arah kebaikan, kita pun kena doakan yang baik-baik. Jalan di depan sana masih panjang,” ujarnya.

Ditanya kemungkinan Tisha dapat kembali dalam produksinya terutama genre kepolisan, pengarah itu menjelaskan perkara tersebut perlu mengambil kira pandangan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Drama kepolisan ini terikat dengan etika, bawa imej yang bersih. Kes mahkamah dihadapinya pula melibatkan dakwaan berkaitan dadah.

“Bagi saya kita membawa imej yang baik, jadi kembali buat masa ini mungkin tidak. Kalau ada pertimbangan daripada pihak PDRM, itu cerita lain.

“Saya pun tak boleh nak cakap apa. Kita tengoklah macam mana nanti. Cuma harapnya dia turut minta maaf kepada PDRM,” katanya.

Terdahulu, Tisha atau nama sebenarnya Shanorbiah Shamsir Alam, 40, ditahan dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di ibu negara pada 7 Julai lalu sebelum didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 10 Julai.

Dia didakwa atas pertuduhan memberikan tiga jenis dadah kepada diri sendiri, iaitu methamphetamine, amphetamine dan ketamin namun mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Pada prosiding kedua di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur 8 Oktober lalu Tisha memohon maaf secara terbuka kepada Yusof kerana menyedari kontroversi tersebut mencalarkan nama baik penerbit berkenaan, selain memberi kesan kepada keluarga dan orang sekelilingnya.

Terdahulu, pihak produksi mengambil tindakan menggugurkan Tisha daripada Gerak Khas 2.0, meskipun penggambaran drama berkenaan ketika itu hanya berbaki dua episod untuk diselesaikan.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Zii Jia Mohon Mahkamah Halang Bapa, Kakak Urus Kewangan

0
KUALA LUMPUR -Pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia, mengambil tindakan undang-undang dengan memohon injunksi interim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghalang bapa...

CATEGORIES