KLANG – Kumpulan Bunkface berpandangan usaha memperkukuh karya dan identiti muzik tempatan perlu terus dipergiat bagi memastikan industri muzik Malaysia terus berkembang, meskipun pendengar semakin terbuka terhadap karya artis antarabangsa.
Pemain bes Bunkface, Youk, berkata kecenderungan pendengar memilih muzik luar negara adalah soal cita rasa yang tidak wajar dipertikaikan. Bagaimanapun, sokongan terhadap penggiat seni tempatan juga penting dalam membina ekosistem industri yang lebih kukuh.
“Memang sukar untuk kita menembusi pasaran luar, sedangkan masyarakat kita lebih terbuka menerima dan memberi peluang kepada orang luar. Bagaimanapun, itu pilihan masing-masing dan tidak salah.
“Tepuk dada, tanya selera. Sebagai rakyat Malaysia, saya menyokong sesama sendiri. Kalau anda semua tidak sokong kami, bagaimana kami hendak terus maju, mengembangkan industri dan membina skala ekonomi yang lebih besar?” katanya.
Bunkface ditemui pada majlis pelancaran Arieva Event Space yang turut memperkenalkan mereka sebagai rakan kolaborasi strategik di Rantau Panjang.
Mengulas lanjut, Youk berkata, jati diri muzik tempatan perlu terus dipelihara agar masyarakat tidak hanya tertumpu kepada karya dari luar negara.
“Tidak mengapa kerana cita rasa muzik masing-masing berbeza. Betul, itu pilihan masing-masing. Cuma, kita masih mempunyai jati diri yang perlu dipertahankan dan dijadikan asas untuk saling menyokong.
“Kalau tidak, akhirnya semua yang ada di sekeliling kita hanyalah muzik dan produk import. Jadi, kita perlu bermula dari dalam dengan saling menyokong antara satu sama lain. Itu yang paling penting,” katanya.
Sementara itu, vokalis Bunkface, Sam, berpendapat kehadiran kumpulan antarabangsa ke Malaysia tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman kepada penggiat seni tempatan, sebaliknya mampu memeriahkan landskap muzik negara.
Bagaimanapun, Sam tidak menolak kemungkinan perbelanjaan besar peminat untuk menyaksikan konsert artis antarabangsa memberi kesan kepada kemampuan mereka membeli tiket persembahan artis tempatan.
“Bagi saya, kehadiran mereka tidak mengganggu, malah menjadikan suasana lebih meriah. Cuma, kita tahu harga tiket konsert bertaraf antarabangsa boleh mencecah harga yang tinggi.
“Apatah lagi apabila nama besar seperti My Chemical Romance (MCR) dan pelbagai kumpulan luar datang membuat persembahan.
“Jadi, mungkin penonton lebih cenderung berbelanja untuk konsert antarabangsa sehingga apabila tiba giliran artis tempatan, mereka sudah tidak mempunyai bajet untuk berbelanja.
“Kemungkinan itu ada dan ramai juga yang bercakap mengenainya,” katanya.
Sam mengakui Bunkface belum mampu menandingi kedudukan kumpulan terkenal antarabangsa, namun mereka selesa dengan pencapaian diraih, terutama apabila masih mendapat sokongan peminat setia yang mengikuti perjalanan muzik mereka sejak dua dekad lalu.
“Kalau hendak dibandingkan dengan kumpulan luar, siapalah kami. Namun, selagi masih ada penerimaan daripada peminat, kami okay saja dan tidak mempunyai masalah dengan situasi itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Bunkface menjalin kolaborasi strategik dengan Arieva Event Space yang membuka peluang kepada kumpulan itu untuk meneroka pelbagai bidang termasuk penganjuran acara kreatif, persembahan dan pembangunan kandungan.
Sumber – Berita Harian





