KUALA LUMPUR – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mahu membuka lembaran baharu pada Grand Prix (GP) Indonesia hujung minggu ini selepas melalui perlumbaan mencabar di Motegi, Jepun.
Dia yang mewakili AEON Credit-MT Helmets-MSi mahu menjadikan pengalaman di Litar Motegi sebagai bekalan untuk tampil lebih kompetitif di Litar Antarabangsa Mandalika, yang menjadi pusingan kedua siri jelajah Asia Kejuaraan Dunia Moto3 2026.
“Saya mahu melupakan sepenuhnya episod kemalangan di Jepun minggu lalu. Apa yang berlaku di Motegi sudah pun berlalu dan ia menjadi pengajaran berguna buat saya untuk terus melangkah ke hadapan.
“Pada minggu ini kami akan menghadapi perlumbaan di GP Indonesia di Litar Mandalika. Saya sendiri pernah berlumba di litar ini ketika menyertai Asia Talent Cup (ATC) kira-kira empat tahun lalu, jadi saya sudah mempunyai sedikit pengalaman mengenai karakter litar ini.
“Litar ini mempunyai beberapa selekoh berkelajuan tinggi dan juga mempunyai bahagian yang agak teknikal, terutama di sektor pertama dan sektor terakhir yang menampilkan selekoh-selekoh tajam.
“Jadi, saya perlu meningkatkan lagi kelajuan dan prestasi di bahagian tersebut,” katanya.
Hakim Danish, 19, bagaimanapun masih dalam proses pemulihan kecederaan bahu selepas berdepan tiga insiden kemalangan di GP Jepun.
Namun, dia tetap mahu fokus kepada usaha mengutip mata dan mengekalkan kedudukannya dalam kelompok terbaik kejuaraan.
Pada GP Jepun, Hakim Danish bangkit daripada petak ke-21 untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 dan mengutip empat mata, sekali gus mengumpul 105 mata untuk berada di tangga ketujuh keseluruhan Moto3.
Pengalaman itu dijangka menjadi kelebihan buat Hakim Danish dan pasukannya dalam mencari tetapan jentera terbaik, terutama ketika sesi latihan bebas dan kelayakan.
Sebagai persiapan, Hakim Danish kini turut menjalani sesi fisioterapi secara intensif bagi membantu proses pemulihan kecederaan bahu dan memastikan tahap kecergasannya berada pada tahap terbaik sebelum turun menjalani latihan bebas Jumaat ini.
“Mengenai keadaan bahu, saya mahu fokus dengan sesi fisioterapi untuk kembali pulih sepenuhnya sebelum beraksi di litar minggu ini.
“Sudah tentu saya sangat bersemangat untuk kembali berlumba dan memberikan yang terbaik pada minggu ini di Mandalika demi menghadiahkan keputusan membanggakan buat pasukan serta peminat di tanah air,” katanya.
Dengan baki musim yang semakin penting, fokus Hakim Danish jelas, kembali kompetitif di Mandalika dan terus mengumpul mata bagi mempertahankan kedudukan dalam kelompok terbaik Moto3.
Sumber – Berita Harian





