KUALA LUMPUR – Minyak mentah Malaysia terus diniagakan pada harga premium yang lebih tinggi berbanding penanda aras Dated Brent, sekali gus membantu mengurangkan kesan kejatuhan harga minyak terhadap pendapatan eksport dan fiskal negara.
RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) berkata, gred minyak mentah Malaysia seperti Tapis, Kikeh, Kimanis, Cendor dan Dulang terus mendapat premium tinggi berikutan kualitinya yang lebih baik, hasil penapisan yang baik serta bekalan yang terhad.
Bank pelaburan itu berkata, keadaan berkenaan membolehkan Malaysia mengekalkan bahagian nilai eksport yang lebih besar walaupun harga penanda aras minyak mentah global menurun.
Pada masa sama, RHB IB menjangka harga minyak yang tinggi hanya memberi impak terhad terhadap prospek pertumbuhan Malaysia dan kesan sederhana terhadap inflasi pengguna.
Ia berkata, prestasi eksport sektor tenaga yang lebih kukuh turut menyediakan sokongan kepada ekonomi.
“Kami mengunjurkan harga minyak mentah Brent menurun kepada AS$85 setong pada akhir 2026 dan AS$75 setong pada akhir 2027 dengan jangkaan ketegangan geopolitik mereda semula,” menurut RHB IB dalam laporan bertajuk Malaysia: Strong Bastion Against Fluctuating Oil Prices.
Berdasarkan kadar pertukaran AS$1 bersamaan RM4.06 yang digunakan dalam laporan itu, AS$85 bersamaan kira-kira RM345.10 setong, manakala AS$75 bersamaan kira-kira RM304.50 setong.
RHB IB berkata, walaupun penurunan harga Brent boleh menjejaskan pendapatan eksport dan hasil petroleum kerajaan, penjimatan daripada subsidi berpotensi mengimbangi sebahagian daripada penurunan hasil berkaitan minyak.
Menurutnya, peningkatan perbezaan harga minyak mentah Malaysia baru-baru ini menyerlahkan daya tahan portfolio eksport minyak mentah premium negara dalam persekitaran harga minyak global yang lebih rendah.
Walaupun Brent turun dengan ketara daripada paras tertinggi yang didorong konflik di Asia Barat, gred minyak mentah Malaysia terus mengekalkan premium.
Keadaan itu turut mengukuhkan strategi jangka panjang Malaysia untuk mengeksport minyak mentah premium sambil mengimport bahan suapan pada kos lebih rendah bagi tujuan penapisan domestik.
Dari sudut fiskal, analisis RHB IB menunjukkan setiap kenaikan AS$10 setong harga Brent boleh meningkatkan hasil kerajaan kira-kira RM6.5 bilion.
Daripada jumlah itu, kira-kira RM3.7 bilion disumbang hasil berkaitan petroleum termasuk royalti, cukai pendapatan petroleum dan duti eksport.
RHB IB berkata, satu lagi faktor yang berpotensi menyokong hasil kerajaan ialah dividen lebih tinggi daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas), walaupun pembayaran sebenar bergantung kepada prestasi operasi syarikat serta keadaan pasaran semasa.
Sumber – Berita Harian





