PETALING JAYA – Pernah terfikir mahu bersara awal daripada dunia lakonan, pelakon Ammar Alfian membatalkan hasrat tersebut selepas menerima nasihat insan terdekatnya.
Ammar atau nama sebenarnya Ammar Alfian Aziz Mohd Zakri, 39, berkata, keinginan berbuat demikian adalah untuk meneroka bidang lain, bukan disebabkan merajuk dengan industri seni.
“Memang saya fikir nak bersara apabila berusia 40 tahun tetapi atas nasihat serta dorongan beberapa individu merasakan saya patut teruskan (bidang seni), saya tarik balik keputusan tersebut.
“Sejujurnya saya pun rasa masih ada lagi yang boleh saya lakukan dalam arena ini terutama dari segi kerja penerbitan.
““Saya tak merajuk. Kalau suatu hari nanti saya tak berlakon sekalipun, saya tetap akan berada di belakang tabir,” katanya selepas majlis pelancaran treler, poster dan runut bunyi filem Orang Perang, baru-baru ini.
Menurut pelakon yang membawakan watak antagonis dalam filem epik tersebut, dia kini semakin giat mendalami tugasan belakang tabir termasuk penulisan skrip dan suntingan video.
“Memang dari dahulu saya nak belajar penyuntingan dan penulisan skrip. Sekarang saya sedang buat perkara itu. Kenapa tidak saya buat kedua-duanya serentak dengan lakonan?” ujarnya.
Aktor yang sudah dua dekad dalam industri hiburan itu mendedahkan mula berjinak-jinak dengan tugas penyuntingan menerusi pembikinan kandungan video di platform media sosial .
“Sebenarnya saya sudah mula dengan beberapa projek bersama produksi lain dan untuk syarikat sendiri, fokus saya lebih kepada acara, belum lagi melibatkan kerja produksi (drama),” katanya.
Sementara itu, mengenai filem Orang Perang arahan Hashim Rejab, Ammar mengakui teruja membintangi sebuah naskhah yang mengangkat kisah perjuangan masyarakat Orang Asli mempertahankan tanah air daripada ancaman komunis.
“Berlakon babak aksi dalam sebuah kisah epik yang menjalani penggambaran di hutan sangat mencabar, apatah lagi saya menggalas karakter antagonis.
“Namun kepuasan merealisasikan sebuah karya berkaitan perjuangan menentang komunis sangat berbaloi. Walaupun cedera ketika penggambaran, pengalaman sepanjang sebulan di set amat berharga,” katanya.
Selain Ammar, Orang Perang yang bakal ditayangkan di pawagam pada 1 Oktober ini turut membariskan Niezam Zaidi, Syazwan Zulkifly, Josiah Hogan, Adam Corrie dan Fauzi Nawawi. – KOSMO! ONLINE





