Wednesday, September 9, 2026
HomeBERITAGaji Menteri Singapura Akan Dinaikkan Hingga 9 Peratus

Gaji Menteri Singapura Akan Dinaikkan Hingga 9 Peratus

SINGAPURA – Pemegang jawatan politik di republik itu bakal menerima kenaikan gaji sekali sahaja sehingga sembilam peratus, sekali gus menjadi pelarasan pertama sejak 2011.

Keputusan dibuat selepas pemerintah menerima cadangan jawatankuasa yang ditubuhkan pada Disember 2025 untuk menyemak semula gaji pemegang jawatan politik dan Ahli Parlimen.

Ini bermakna menteri peringkat permulaan gred MR4 yang mendapat pelarasan penuh akan menyaksikan kenaikan gaji tahunannya daripada SGD$1.1 juta (RM3.5 juta) kepada SGD$1.2 juta (RM3.8 juta) apabila rangka kerja yang disemak semula berkuat kuasa mulai 15 Oktober.

Berucap di Parlimen pada 8 September, Perdana Menteri, Lawrence Wong, berkata pemerintah telah menerima cadangan jawatankuasa untuk mengemas kini tanda aras MR4 daripada SGD$1.1 juta (RM3.5 juta) kepada SGD$1.8 juta (RM5.8 juta).

Menjelang akhir penggal pemerintah ini, Wong berkata beliau menjangkakan menteri yang kekal di MR4 akan berada di peringkat hujung bawah julat gaji baharu, iaitu SGD$1.35 juta (RM4.3 juta).

“Pelarasan untuk setiap pemegang jawatan bergantung pada keadaan individu, termasuk prestasi dan bila gaji mereka kali terakhir diselaraskan,” kata Wong.

Dengan perubahan pada rangka kerja itu, gaji Perdana Menteri, yang ditetapkan pada sekali ganda daripada tanda aras MR4, juga akan dinaikkan kepada SGD$3.6 juta (RM11.6 juta), meningkat daripada SGD$2.2 juta (RM7.1 juta).

Bagaimanapun, Wong berkata beliau akan mendermakan kenaikan gaji penuhnya – yang berjumlah SGD$1.4 juta (RM4.5 juta) setiap tahun – kepada badan amal.

“Pemerintah akan terus membayar gaji yang diperuntukkan di bawah rangka kerja ini, iaitu cara sistem kita berfungsi. Saya kemudian akan mendermakan kenaikan tersebut kepada tujuan kebajikan yang sesuai.

“Ini adalah keputusan saya sendiri. Saya tidak menjangkakan pemegang jawatan lain akan melakukan perkara yang sama,” kata Wong, yang juga Menteri Kewangan.

Julat gaji untuk menteri dalam setiap gred juga akan diperluas kepada lebih atau kurang 25 peratus, yang akan membolehkan menteri beralih ke mata gaji yang berbeza dari semasa ke semasa berdasarkan prestasi mereka.

Mereka yang berprestasi baik mungkin akan beralih ke tahap yang lebih tinggi dalam julat itu, kata Wong, manakala mereka yang berprestasi sangat baik, mungkin akan dinaikkan pangkat ke gred yang lebih tinggi apabila mereka memikul tanggungjawab yang lebih besar.

“Tanda aras MR4 yang disemak semula sebanyak SGD$1.8 juta (RM5.8 juta) bukanlah gaji sasaran yang mesti dicapai oleh setiap menteri.

“Menteri boleh dibayar di atas atau di bawah tanda aras, dalam julat yang ditetapkan,” kata Wong.

Wong berkata beliau memutuskan untuk menerima cadangan itu sekarang memandangkan gaji menteri telah jauh ketinggalan berbanding gaji sektor swasta dan perkhidmatan awam dalam tempoh 15 tahun yang lalu.

Gaji untuk pemegang jawatan politik terakhir dikemas kini pada 2012, dengan perubahan bertarikh kembali ke 2011 apabila penggal pemerintah baharu bermula.

Walaupun jurangnya paling ketara jika dibandingkan dengan sektor swasta, malah dalam perkhidmatan awam terdapat beberapa setiausaha tetap kanan yang berpendapatan lebih daripada menteri, katanya.

Semasa ucapannya, Wong turut mengumumkan bahawa pemerintah telah menerima cadangan jawatankuasa untuk menaikkan elaun bulanan untuk Ahli Parlimen daripada SGD$13,750 (RM44,235) kepada SGD$18,500 (59,515) mulai 15 Oktober.

Pemerintah juga telah menerima cadangan jawatankuasa untuk meningkatkan gaji penjawat politik lain serta Presiden, Speaker dan Timbalan Speaker.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Juruterbang, Empat Penumpang Helicopter Terhempas Disahkan Maut

0
MIRI – Lima individu termasuk seorang juruterbang disahkan maut selepas helikopter BO-105 yang dinaiki mereka terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, petang...

CATEGORIES