Wednesday, September 2, 2026
HomeHIBURANEdrie Hashim Tegur Budaya ‘Jalan Mudah’, Jangan Bergantung Sepenuhnya Kepada AI

Edrie Hashim Tegur Budaya ‘Jalan Mudah’, Jangan Bergantung Sepenuhnya Kepada AI

KUALA LUMPUR: Komposer dan penerbit muzik terkenal tanah air, Edrie Hashim menyifatkan industri muzik masa kini sedang berdepan satu keadaan yang boleh dianggap sebagai ‘bottleneck’ apabila terlalu banyak kandungan dan karya dihasilkan dalam tempoh yang pantas sehingga melebihi kemampuan masyarakat untuk menerima serta menghayatinya.

Menurut Edrie, keadaan tersebut turut memberi kesan terhadap proses pembentukan karakter artis yang benar-benar tersendiri dan berupaya bertahan dalam tempoh panjang sehingga mencapai status legenda.

Katanya, perjalanan untuk menjadi seorang legenda bukanlah sesuatu yang boleh berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan perjuangan, pengalaman dan tempoh yang panjang untuk membina hubungan serta penghormatan daripada masyarakat.

“Sekarang terlalu banyak benda keluar, lebih laju daripada apa yang orang boleh terima. Kita juga semakin kurang melihat karakter artis yang benar-benar tersendiri dan mampu bertahan lama.

“Untuk sampai ke tahap legenda, seseorang itu perlu melalui perjuangan. Perjuangan saya sendiri sudah 36 tahun. Kalau nak sampai empat dekad, generasi muda pun kena lalui perjalanan itu.

“Bila kita tengok seorang artis baru, kita boleh nampak perjalanan dia. Mungkin dia bermula daripada pertandingan, kemudian masuk industri dan perlahan-lahan membina nama. Daripada perjuangan itulah datangnya pengalaman dan penghormatan daripada orang ramai. Kalau semuanya terlalu mudah, orang mungkin tidak nampak perjuangan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam perkembangan teknologi yang semakin pesat, Edrie turut mengingatkan generasi baharu supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada kecerdasan buatan (AI) dalam menghasilkan karya muzik.

Menurutnya, teknologi sememangnya boleh digunakan sebagai satu alat dan medium untuk membantu proses penciptaan, namun ia tidak seharusnya menggantikan sepenuhnya proses pembelajaran, pengalaman serta perjuangan seseorang pemuzik atau pencipta karya.

“Kalau budak-budak baru terus bergantung kepada AI, orang tak nampak perjuangan kau. Kemudian, mungkin kau juga tak akan mendapat penghormatan seperti orang yang benar-benar melalui proses itu. Saya bukan kata teknologi tak boleh digunakan. Terpulang kepada masing-masing. Tetapi bagi orang yang pentingkan kualiti, mereka boleh dengar perbezaannya.

“Bila kita tak melalui perjuangan, kadang-kadang semangat itu pun tak ada. Dan apabila semangat itu tidak ada, kita boleh dengarnya dalam muzik,” katanya.

Edrie berkata, perubahan landskap industri hiburan dan kemunculan media sosial juga telah mengubah cara generasi baharu melihat makna populariti serta laluan untuk mencapai kemasyhuran.

“Dulu, sebelum internet, kalau kau nak popular dan masuk televisyen, antara jalannya adalah menjadi pemuzik atau pelakon. Sebab itu ramai yang benar-benar mahu menjadi artis.Sekarang dunia sudah berubah. Orang boleh jadi terkenal melalui apa sahaja. Kau cerita pasal pokok, kereta, motor atau bermain papan selaju pun boleh dapat sejuta pengikut kalau konsisten.

“Jadi cita-cita untuk menjadi penyanyi atau pemuzik itu mungkin semakin berkurangan. Sekarang ramai lebih mahu menjadi pencipta kandungan. Itulah perubahan zaman,” katanya.

Sumber – Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Warga Emas Rugi RM1.4 Juta Angkara Phone Scam

0
Kuantan - Seorang pesara swasta berusia 66 tahun berputih mata selepas kerugian lebih 1.4 juta akibat terpedaya dengan sindiket penipuan telefon yang mengaitkannya dengan...

CATEGORIES