KUALA LUMPUR: Kapten skuad sepak takraw negara, Farhan Adam melihat Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebagai peluang untuk menutup satu perjalanan panjangnya bersama pasukan kebangsaan.
Pada usia 37 tahun, Farhan tidak menolak kemungkinan temasya kali ini menjadi penampilan terakhirnya selepas mengambil kira tempoh empat tahun sebelum edisi seterusnya.
Bagi Farhan, fokusnya kini hanya satu iaitu membantu Malaysia merealisasikan impian membawa pulang pingat emas.
“Sukan Asia ini diadakan empat tahun sekali. Untuk menunggu empat tahun lagi, saya rasa saya tidak mampu untuk menghadapinya. Jadi, fokus saya adalah untuk edisi kali ini.
“Insya-Allah, jika pingat emas dapat diterjemahkan, saya rasa itu adalah penutup yang baik. Pastinya Sukan Asia ini bakal menjadi yang terakhir buat saya,” katanya.
Aichi-Nagoya 2026 bakal menjadi penampilan keempat Farhan di Sukan Asia selepas Guangzhou 2010, Jakarta-Palembang 2018 dan Hangzhou 2023.
Dia bagaimanapun tidak terpilih untuk edisi Incheon 2014.
Tidak lagi gentar berdepan Thailand
Dalam masa sama, Farhan melihat sasaran dua pingat emas yang diletakkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bagi acara regu dan regu berpasukan bukan sesuatu yang mustahil.
Menurutnya, keyakinan pemain negara juga semakin tinggi, termasuk ketika berdepan Thailand yang sekian lama menjadi pencabar utama Malaysia.
“Jika dahulu, pantang dengar nama Thailand saja kita sudah agak gerun tetapi sekarang pemain melihat kita berada di tahap yang sama dengan mereka.
“Sekarang ini tiada lagi perasaan takut. Apa yang penting adalah bagaimana kami menterjemahkan strategi pada hari kejohanan nanti untuk mencari kemenangan,” katanya.





