KUALA LUMPUR – Faizal Hussein, 59, sejak mendirikan rumah tangga tidak pernah mengabaikan tanggungjawab membantu isterinya menguruskan kediaman, termasuk memasak, mengemas tempat tidur dan menukar cadar.
Faizal atau nama lengkap, Mohd Faizal Hussein, 59, berkata, lelaki terutama yang sayang dan mengambil berat keluarga tidak sepatutnya menganggap kerja rumah sebagai beban atau sesuatu yang hanya dilakukan wanita.
Akuinya, sejak awal perkahwinan, dia sentiasa mengambil berat soal pengurusan rumah tangga, terutama dalam memastikan keselesaan keluarga.
“Cuma ada lelaki yang boleh buat kerja rumah dan ada yang fikir itu bukan tugas mereka. Saya bukanlah menentang lelaki sebegitu kerana mungkin itu memang sifat mereka.
“Tetapi, bagi lelaki penyayang dan ambil berat soal keluarga, kita akan fikir semua perkara itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab.
“Kalau dahulu tilam nipis dan ringan, sekarang tilam spring tebal, memang berat untuk diangkat. Sebab itu, sejak mula berkahwin sehingga hari ini, saya anggap rumah sendiri seperti ‘room service’.
“Saya akan uruskan tempat tidur dan sentiasa pastikan semuanya selesa,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi drama Sumpah Ayahku di lobi Galeri Prima di Balai Berita, di sini, baru-baru ini.
Faizal berkata, pendekatan sama turut diamalkan dalam mendidik anak, terutama anak lelaki dengan menunjukkan teladan melalui perbuatan dan bukan sekadar memberi arahan.
Faizal percaya anak lebih mudah faham tanggungjawab apabila melihat sendiri ibu bapa melaksanakannya dalam kehidupan seharian.
“Saya ajar anak dengan cara membiarkan mereka melihat. Tidak perlu banyak bercakap kerana mamanya sudah selalu mengajar.
“Saya tunjuk melalui tindakan yang saya buat. Jadi, dia akan nampak dan ikut. Bagi saya, kita kena mulakan dahulu sebelum harap anak melakukan perkara sama.
“Kalau betul-betul sayang keluarga, kita akan buat perkara ini tanpa rasa terbeban. Kerja rumah bukan ukuran lelaki atau perempuan. Kalau boleh membantu, bantulah,” katanya.
Faizal berkata, dia tidak menggunakan khidmat pembantu rumah sejak anak masih kecil dan lebih selesa membahagikan tugasan mengikut kemampuan setiap anggota keluarga.
Malah, katanya dia tidak pernah mewajibkan isterinya memasak setiap hari kerana urusan menyediakan makanan boleh diambil alih olehnya atau anak lelaki sekiranya dia ada di rumah.
“Saya memang sudah ajar anak lelaki supaya tidak biarkan mama dan kakaknya lapar. Sebelum mereka lapar, dia yang bertanggungjawab uruskan makanan di rumah,” katanya.
Sebelum ini, tular Faizal dipuji kerana tidak kekok membantu menguruskan rumah tangga. Malah, Faizal dilapor menganggap tanggungjawab itu sebagai sebahagian daripada kehidupan berkeluarga.
Sumber – Berita Harian





