KUALA LUMPUR – Penyanyi Aina abdul mengakui berdepan dengan tekanan besar dalam menghasilkan karya terbaik demi mengharumkan nama Malaysia di dalam Eurovision Song Contest Asia 2026.
Aina, 32, yang dipilih mewakili negara ke pertandingan itu berkata, tempoh singkat diberikan untuk menyiapkan lagu baharu berbahasa Inggeris menjadi antara cabaran terbesar yang perlu dihadapinya ketika ini.
Menurut Aina, dia hanya dimaklumkan mengenai pemilihannya pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-40, sekali gus menyebabkan tempoh persiapan menjadi amat terhad.
“Sangat tertekan, saya tak tipu. Benda itu sangat susah untuk saya disebabkan tempoh yang sangat singkat. Bulan November sudah nak bertanding dan saya hanya dimaklumkan pada malam AJL Ke-40.
“Saya kini sedang siapkan lagu baharu dan wajib nyanyikan lagu sendiri sebab saya yang akan jadi ‘pencerita’ untuk lagu saya. Jadi, saya mahu benda itu lahir daripada saya,” katanya kepada media.
Aina berkata, proses menghasilkan lagu berkenaan sedang giat dijalankan dengan sokongan pasukannya, manakala karya itu dijangka diterbitkan oleh pemuzik dan penerbit, Mac Chew.
Katanya, dia juga sudah beberapa kali mengubah susunan lagu berkenaan kerana masih merasakan ada kekurangan yang perlu diperbaiki sebelum benar-benar bersedia dipersembahkan di pentas Eurovision.
“Banyak kali saya ubah susunan lagunya kerana merasakan lagu itu tak cukup kuat untuk mewakili negara. Itulah kekangan kami sekarang kerana kita bermain dengan masa.
“Saya anggap Eurovision macam Sukan Olimpik dan saya pula atlet yang mewakili negara. Maka, saya perlu persiapkan lagu itu dengan baik kerana saya tahu ramai yang menunggu,” katanya.
Aina pada masa sama berharap orang ramai terus memberikan sokongan positif dan mendoakan kelancaran proses penghasilan lagunya.
“Pada saya, kali ini memang agak sukar. Saya harap mereka di luar sana dapat memberikan semangat yang positif kepada saya. Doakan yang baik-baik buat saya.
“Mana tahu dengan doa mereka, saya dapat lahirkan idea yang menarik,” katanya.
Berkongsi mengenai kelengkapan dan prop persembahan, Aina berkata perkara berkenaan masih belum diputuskan kerana pertandingan itu akan berlangsung di luar negara.
Bagaimanapun, dia berharap dapat membawa pasukan sendiri bagi membantu merealisasikan konsep persembahannya, selain mengetengahkan kepakaran anak tempatan di pentas antarabangsa.
“Setakat ini belum pasti lagi macam mana dengan kelengkapan dan sebagainya sebab kita bermain dengan negara luar. Saya perlu hormati mereka tetapi kita banggalah jika dapat bawa kepakaran ke sana.
“Harapan saya tentulah nak bawa pasukan sendiri. Apa yang saya pamerkan di AJL Ke-40 tempoh hari semuanya hasil kreativiti anak jati kita.
“Jadi, saya bangga sekiranya dapat bawa dan tonjolkan bakat kita ke luar negara,” katanya.
Eurovision Song Contest Asia 2026 bakal berlangsung pada Sabtu, 14 November depan, jam 9 malam di Thailand, menghimpunkan penyanyi dari seluruh Asia.
Pertandingan itu akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 serta platform penstriman Tonton.
Sumber – Berita Harian





