Tuesday, September 1, 2026
HomeSUKANMessi Umum Persaraan, Beri Ruang Kepada Pemain Muda

Messi Umum Persaraan, Beri Ruang Kepada Pemain Muda

MIAMI: Lionel Messi mengumumkan beliau bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas membantu Argentina mara ke final Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut pada Julai lalu.

Penyerang berusia 39 tahun itu, yang membantu Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 sebelum membawa negaranya ke final di Amerika Syarikat tahun ini tetapi tewas kepada Sepanyol, berkata keputusan itu amat menyakitkan.

“Ia keputusan menyakitkan dan masih menyakitkan jauh di dalam jiwa saya, tetapi saya faham bahawa inilah masa yang tepat.

“Saya bersumpah saya sentiasa memberikan segala-galanya, bukan hanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini ketika kami memenangi segala-galanya, tetapi sebelum itu juga, dan saya sentiasa berjuang serta memberikan segala-galanya untuk jersi ini,” tulis Messi di Instagram.

Messi membawa Argentina menjulang Piala Dunia empat tahun lalu selepas menewaskan Perancis menerusi penentuan penalti di Doha, namun pasukannya tewas 1-0 di tangan Sepanyol pada final 2026 di East Rutherford, New Jersey.

Selepas kematian bapanya, Jorge, pada Ogos, Messi sebelum ini berkata beliau mempunyai keraguan untuk terus bermain bola sepak dalam apa juga bentuk bagi tempoh yang lebih lama.

“Saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan tanpa kamu, saya tidak tahu bagaimana untuk meneruskan kehidupan. Saya hanya bermain bola sepak dan kini saya mempunyai keraguan serius untuk terus melakukannya untuk tempoh yang lebih lama,” katanya ketika itu.

Kontrak Messi bersama kelab Major League Soccer (MLS), Inter Miami, berlangsung sehingga penghujung musim 2028.

Dalam Piala Dunia tahun ini, Messi sekali lagi membawa Argentina ke final dengan menjaringkan lapan gol selain membantu dua lagi ketika kebangkitan dramatik menentang England pada separuh akhir.

Namun, impian untuk menjulang trofi sekali lagi terhenti apabila Argentina tewas kepada Sepanyol di Stadium MetLife.

Messi dirakam menitiskan air mata selepas menerima pingat naib juara. Beliau kemudian berkata kesakitan akibat kekalahan itu amat besar dan akan mengambil masa yang lama untuk luka itu sembuh.

Dalam kenyataannya awal pagi tadi, pemenang Ballon d’Or sebanyak lapan kali itu berkata sudah tiba masanya generasi baharu pemain Argentina mengambil alih tanggungjawab.

“Saya mencintai, dan akan sentiasa mencintai peluang bermain untuk pasukan kebangsaan.

“Saya sudah memberikan segala yang saya ada, saya tiada apa lagi untuk diberikan dan selain itu, terdapat beberapa pemain muda yang sangat berbakat sedang muncul di belakang saya yang layak berada di sana,’ tambahnya.

Mengulas pengumuman itu, Presiden FIFA Gianni Infantino menyifatkan Messi sebagai “antara pemain terhebat yang pernah disaksikan sukan kita” dan berterima kasih kepadanya kerana “membawa begitu banyak kegembiraan kepada jutaan peminat bola sepak”.

Presiden Argentina, Javier Milei, pula hanya menulis di media sosial: “Terima kasih banyak, manusia luar biasa.”

Messi menerima panggilan pertama ke skuad Argentina pada tahun 2005 oleh Jose Nestor Pekerman ketika berusia 18 tahun.

Beliau kemudian membuat 207 penampilan untuk negaranya dan menjadi penjaring terbanyak Argentina dengan 125 gol.

Messi turut memenangi dua kejuaraan Copa America pada tahun 2021 dan 2024 sepanjang karier antarabangsa selama 21 tahun.

Namun, sebelum era penuh kejayaan itu, Messi tidak mendapat tempat istimewa dalam hati rakyat Argentina seperti legenda negara itu, Diego Maradona atau Pope Francis.

Selepas berpindah ke Catalonia pada usia 13 tahun untuk menyertai Barcelona, Messi sebenarnya boleh memilih untuk mewakili Sepanyol tetapi memilih Argentina.

Rakan sepasukan lamanya, Angel Di Maria, yang turut membantu Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 memberikan penghormatan kepada Messi atas pilihan itu serta sumbangannya kepada pasukan kebangsaan.

“Kami akan selama-lamanya berterima kasih kepada kamu kerana menjadi rakyat Argentina dan membawa Argentina ke puncak dunia.

“Kerana memilih untuk menjadi rakyat Argentina ketika kamu sebenarnya boleh memilih sesuatu yang lain. Terima kasih atas segala-galanya,” kata Di Maria.

Bagi Ernesto Godoy, guru berusia 38 tahun di Buenos Aires, persaraan Messi daripada bola sepak antarabangsa menandakan penghujung karier luar biasa, seorang ahli sukan dengan kualiti yang jarang dapat disaksikan.

“Ada Maradona, kemudian satu kekosongan, selepas itu Messi dan kini kami akan sekali lagi merasai kekosongan itu (sekali lagi), kehidupan tanpa Messi, sama seperti Argentina melalui kehidupan tanpa Maradona,” kata Godoy kepada AFP mengenai pemain yang mengakhiri karier antarabangsa dengan kedudukan yang sudah pasti dalam kalangan legenda Argentina.

Sumber – berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Empat Maut LPT1: Lori Tangki Hilang Kawalan Punca Nahas 11 Kenderaan

0
TEMERLOH – Lori tangki simen dipercayai menjadi punca kemalangan ngeri membabitkan 11 buah kenderaan yang meragut empat nyawa di Kilometer 110.3, Lebuh Raya Pantai...

CATEGORIES