KUALA LUMPUR – Selepas 28 tahun diterbitkan, kumpulan rock legenda XPDC Kita Peng Yu bakal merealisasikan konsert yang mengangkat semula kegemilangan album Metal 60-an menerusi XPDC Kita Peng Yu Headbang Live & Loud pada 22 Ogos depan.
Pemain besnya, Zuar berkata, persembahan mega di Odeon Kuala Lumpur itu yang menyelitkan segmen istimewa itu bukan sekadar mengimbau nostalgia, bahkan menjadi penghargaan kepada semua penyanyi yang terlibat dalam pembikinan album berkenaan.
“Album ini memang unik. Rasanya kami pencetus kepada muzik metal 60-an ketika itu dengan mengangkat dendangan popular era berkenaan yang digabungkan bersama muzik metal.
“Sejak album itu dilancarkan sekitar 1998, kami memang menyimpan hasrat untuk mengadakan konsert dengan menghimpunkan semua penyanyi yang terbabit dalam pembikinan album ini.
“Cuma perancangan tersebut tergendala berikutan kesibukan memenuhi jadual undangan pentas, selain berdepan hal dalaman sebelum ini,” katanya selepas sidang media konsert XPDC Kita Peng Yu Headbang Live & Loud di Odeon Kuala Lumpur, semalam.
Lebih menyentuh emosi, Zuar atau nama lengkapnya Azuar Md Tasi, 60, berkata satu lagi segmen istimewa adalah tribute buat rakan mereka, Allahyarham Mael yang meninggal dunia pada April 2023.
“Ada tiga segmen dirancang untuk konsert ini. Menerusi segmen penghargaan, kami mengundang adik vokalis kami itu, Syed Ali, bagi menghidupkan semula memori bersama peminat.
“Dalam masa sama kami amat bersyukur kerana Jatt Black Dog Bone bersetuju menyertai konsert ini. Dia antara individu penting dalam penghasilan album Metal 60-an,” ujarnya.
Selain Jatt, konsert yang menyajikan tiga segmen itu nanti juga bakal dimeriahkan dengan kemunculan teman seperjuangan mereka di arena muzik, Yan Lefthanded sebagai artis jemputan.
Mengulas persiapan menjelang konsert, Zuar berkata, mereka kini menjalani latihan intensif setiap malam bagi memastikan persembahan yang disajikan benar-benar memenuhi jangkaan peminat.
“Walaupun kami sudah biasa membuat persembahan di karnival, persiapan untuk konsert jauh berbeza. Kami berlatih setiap malam bagi memberikan persembahan terbaik,” katanya.
Selain Zuar, XPDC Kita Peng Yu dianggotai Arry selaku vokalis, Jeff (gitar) dan Amy (dram).
Terdahulu, album Metal 60-an yang diterbitkan pada tahun 1998 dengan memuatkan 10 buah lagu turut menampilkan Ali (XPDC), Arry dan Adeq.
Sumber – KOSMO! ONLINE





