Di mana silapnya industri muzik Malaysia apabila lagu-lagu dari seberang kini seolah-olah menjadi tali timba, sehinggakan identiti muzik di negara sendiri makin hilang taringnya?
Saban hari, sesetengah halwa telinga terutama golongan generasi Z disogok dan terus hanyut dengan lagu-lagu dari Indonesia dan situasi ini sekali gus meletakkan komposer tempatan dalam fasa tekanan dalam menghasilkan lagu yang setanding.
Perkara ini mendapat perhatian daripada penyanyi, pemuzik, dan komposer, Loque atau Khairil Ridzwan Anuar yang menyifatkan industri muzik arus perdana masa kini berada dalam keadaan yang agak menyedihkan kerana terlalu mendewakan lagu luar berbanding memperkasakan budaya sendiri.
“Saya paling tidak boleh terima apabila ada pihak mendakwa bahasa seberang kononnya lebih semula jadi dan kreatif, sedangkan bahasa klasik kita sendiri banyak yang sudah pupus kerana tidak digunakan lagi. Mereka mempunyai kecenderungan peribadi terhadap muzik luar, itu hak masing-masing, namun di manakah suara pejuang kita yang sepatutnya mengangkat bahasa kita sendiri dalam seni lagu?
“Dahulu, sekitar sepuluh atau dua puluh tahun lepas, saya sudah menghasilkan karya menggunakan istilah-istilah yang lebih kreatif yang seakan-akan sama seperti lagu Kota Ini Tak Sama Tanpamu. Tetapi, masyarakat menganggap karya saya terlalu berat dan sukar didekati. Bagaimanapun, apabila penggiat seni Indonesia membawa konsep yang sama, masyarakat kita boleh menerimanya dengan baik, jadi jelas wujud dwi-standard di situ.
“Malah, seribu kali sayang, kebanyakan penyanyi arus perdana kita hari ini seolah-olah masih berkiblatkan lagu-lagu dari seberang. Kebanyakannya secara langsung atau tidak langsung, pejuang bahasa dan identiti kita sekarang ini adalah band-band bukan arus perdana seperti Marga Satwa, Mafidz, dan Iqbal M,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi Loque, masalah ini menjadi semakin serius apabila ramai penulis lagu di Malaysia ini mula meninggalkan bahasa Melayu yang betul semata-mata mahu nampak puitis mengikut cara luar. Sikap mengagungkan bahasa asing ini seolah-olah membuatkan bahasa sendiri kelihatan seperti tidak ada nilai langsung untuk dijadikan lagu.
Loque melihat sikap sentiasa membandingkan diri dengan orang lain atau ‘inferiority complex’ yang sangat kuat dalam masyarakat kita menjadi punca utama bahasa Melayu menjadi kaku dan tidak berkembang. Ramai yang lebih suka menggunakan bahasa rojak kerana mereka fikir cara itu nampak lebih bergaya dan ada status tinggi.
“Budak-budak muda zaman sekarang rasa bahasa Indonesia itu lebih indah dan mendalam bila menyanyi, padahal bahasa kita pun puitis juga tapi kita sendiri yang tidak mahu guna. Kita lebih suka guna bahasa rojak, cuba jadi orang lain, dan akhirnya semua ini berbalik kepada masalah mentaliti kita sendiri.
“Sebab itu bahasa Indonesia boleh maju, sebab orang mereka bangga dan guna bahasa itu hari-hari dalam kehidupan mereka. Kita pula sebaliknya, kalau tidak sebut perkataan bahasa Inggeris, kita rasa kampung dan takut orang cop kita ketinggalan zaman.
“Sikap sentiasa membandingkan diri dengan orang lain sangat jelas, hinggakan dalam urusan harian atau masa kemas kini status di media sosial pun, kita pilih bahasa asing sebab rasa ia nampak lebih ada kelas,” katanya.

Dalam pada itu, perbezaan besar antara industri muzik Malaysia pada masa ini dengan luar negara adalah tentang komitmen nasional. Negara luar seperti Jepun, Korea, dan Indonesia sudah lama tanam identiti negara mereka dalam setiap produk seni yang mereka hantar ke luar.
Loque berkata, komposer tempatan sekarang berdepan tugas berat dan perlu menukar cara kerja mereka supaya tidak terus meniru bulat-bulat trend luar. Proses untuk tarik semula minat pendengar muda ini bukan perkara mudah yang boleh selesai dalam masa sehari dua.
Penggiat seni tempatan tidak boleh ambil jalan mudah dengan hanya mengikut apa yang laku di pasaran, sebaliknya mereka perlu berani buat formula baharu yang mengekalkan identiti Malaysia.
“Muzik Indonesia dan K-pop ambil masa yang sangat lama untuk kuasai pasaran, jadi komposer kita tidak boleh hanya tahu mengeluh. Kita perlu bangun cari formula baharu untuk tarik budak-budak muda, sebab anjakan paradigma memang ambil masa yang lama.
“Bagi seorang komposer, cabaran paling besar sekarang adalah bagaimana mahu kenalkan semula lagu Melayu kepada generasi baharu yang mungkin tidak pernah dengar era P. Ramlee atau M. Nasir. Budak-budak sekarang sudah melompat terus dengar muzik Indonesia yang sedang serang pasaran kita. Jadi, kita ada tanggungjawab untuk tarik mereka balik.
“Kita memang tidak boleh paksa pilihan pendengar dalam dunia sekarang, tapi persoalannya, di mana tanggungjawab nasional kita untuk pertahankan identiti negara sendiri?” katanya.
Melihat situasi ini, Loque menegaskan evolusi bahasa dalam lagu perlu dibuat cepat mengikut kesesuaian abad ke-21. Dia mahu pihak kerajaan dan kementerian berkaitan lebih tegas dalam isu memartabatkan identiti kebangsaan ini.
“Kita semua perlu sama-sama tukar mentaliti ini supaya kita lebih hargai dan bangga dengan muzik tempatan. Harapan saya adalah kita pertahankan karya tempatan atas dasar tanggungjawab kepada negara demi bentuk jati diri yang kuat.
“Saya minta pihak kerajaan menggunakan sahaja bahasa kebangsaan secara menyeluruh tanpa perlu takut orang luar tidak faham. Bila kita sendiri selalu guna dalam urusan rasmi, anak-anak kita akan ikut dan cara ini akan bantu bahasa kita untuk terus hidup.
“Nasihat saya kepada artis dan komposer pula, tidak kisah apa rujukan muzik yang anda suka, tolong ingat tanggungjawab pada negara. Kita bertanggungjawab kekalkan identiti kita dalam lagu, nyanyian kerana itulah wajah kita di mata dunia,” katanya.
Sumber – Utusan





