KUALA LUMPUR, 4 JULAI 2026 – Empat dekad legasi seni Dato’ Aishah diraikan penuh gemilang menerusi konsert “Aishah 40 Chapters of Love” yang berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur. Dianjurkan oleh Vox Nation Live, konsert istimewa ini bukan sekadar menghimpunkan rangkaian lagu malar segar yang telah mewarnai perjalanan seni beliau, malah menjadi sebuah penghargaan penuh bermakna terhadap sumbangan seorang ikon yang telah mencorakkan landskap muzik tanah air selama empat dekad.
Meskipun berlangsung di sebuah dewan berskala besar, suasana sepanjang konsert tetap terasa intim, seolah-olah menghimpunkan sebuah keluarga besar yang berkongsi kenangan dan kasih yang sama terhadap figura seni yang disegani ini. Peminat setia dari seluruh pelosok Malaysia hadir bagi meraikan perjalanan seni Dato’ Aishah, sekali gus membuktikan bahawa karya-karya beliau terus hidup merentasi generasi.

Empat Dekad Dalam Sebuah Persembahan
Mengangkat konsep penceritaan melalui muzik, setiap segmen konsert membawa penonton menyelusuri bab demi bab perjalanan seni Dato’ Aishah. Persembahan dimulakan dengan medley “Camar Yang Pulang”, “Tiada Duka”, “Never Gave Up On You” dan “Jari-Jariku Sakit Semua” yang terus membangkitkan sorakan penonton sebelum beliau meneruskan persembahan menerusi “Kau Sahabat, Kekasih & Teman”, “Kasih Kita” dan “Kau Yang Teristimewa”, mengimbau kembali lagu-lagu yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup para peminat.
Segmen berikutnya memperlihatkan sisi kecintaan Dato’ Aishah terhadap warisan budaya menerusi medley “Tari Silat Melayu”, “Lambaian Nogori” dan “Bahtera Merdeka”, sebelum beliau menyampaikan “Fatwa Pujangga” serta rangkaian lagu yang menyentuh jiwa menerusi “Di Mana Ku Cari Ganti”, “Ayah” dan “Syurga Di Telapak Kaki Ibu”.

Kehangatan persembahan diteruskan dengan “Bayangan”, diikuti “You’ve Got A Friend”, sebelum pentas diserikan dengan kemunculan istimewa Ara Johari menerusi duet “Kemaafan Dendam Yang Terindah”. Ara kemudiannya meneruskan persembahan solo menerusi “Menjaga Jodoh Orang Lain”, sekali gus memberikan dimensi baharu kepada malam yang cukup bermakna itu.
Bab seterusnya membawa penonton menikmati medley “Melukut Di Tepi Gantang” dan “Wajah”, disusuli “Di Antara Cinta & Kasih” serta “Wanita”, sebelum Dato’ Aishah mempamerkan kehebatan vokalnya menerusi “One Moment In Time” dan medley “Sensation”, “Call Me”, “I Feel Love” serta “Don’t Let Me Fall Alone”.

Kemuncak konsert hadir menerusi lagu ikonik “Janji Manismu”, yang bergema dengan suara penonton dalam sebuah momen penuh emosi. Sorakan yang tidak putus-putus akhirnya membawa Dato’ Aishah kembali ke pentas bagi menyampaikan lagu-lagu encore, “Pulanglah” dan “Setitis Cahaya Di Aidilfitri”, menutup tirai konsert dengan penuh indah.
Sentuhan Pengarah Muzik Sharon Paul
Sepanjang hampir tiga jam persembahan, Dato’ Aishah tampil luar biasa dengan vokal, karisma dan aura seorang legenda. Para peminat pula tidak henti-henti menyanyi bersama, menjadikan suasana di Megastar Arena begitu intim dan penuh emosi.
Keseluruhan persembahan turut diperkukuhkan oleh sentuhan Pengarah Muzik terkenal, Sharon Paul, yang menyusun muzik dengan segar dan dinamik tanpa menghilangkan identiti asal setiap karya.
Vinyl Edisi Terhad Eksklusif
Sebagai penghargaan kepada para peminat yang telah bersama Dato’ Aishah sepanjang empat dekad, Vox Nation Live turut memperkenalkan sebuah vinyl edisi terhad yang menghimpunkan beberapa lagu malar segar beliau. Koleksi eksklusif ini hanya boleh dimiliki menerusi Vox Nation Live, sekali gus menjadikannya antara cenderamata paling bernilai buat peminat dan pengumpul karya muzik fizikal.
Dari Hati Dato’ Aishah
Menyifatkan malam tersebut sebagai antara detik paling bermakna dalam perjalanan seninya, Dato’ Aishah berkata sokongan peminat yang tidak pernah putus menjadi kekuatan utama yang mendorong beliau untuk terus berkarya sehingga hari ini.

“Empat puluh tahun adalah satu perjalanan yang panjang, penuh suka, duka dan kenangan yang membentuk diri saya sebagai seorang anak seni. Melihat begitu ramai peminat yang masih bersama saya hingga hari ini benar-benar menyentuh hati. Saya amat bersyukur dapat berkongsi malam yang begitu indah bersama mereka. Setiap tepukan, setiap nyanyian dan setiap senyuman yang saya lihat malam ini akan saya simpan sebagai kenangan yang paling berharga. Terima kasih kerana terus menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup dan muzik saya.”
Mengangkat Sebuah Legasi
Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, En. Shawn Chang berkata penganjuran konsert ini merupakan satu penghormatan besar dalam meraikan perjalanan seni seorang legenda yang telah banyak menyumbang kepada industri muzik tanah air.
“Menganjurkan ‘Aishah 40 Chapters of Love’ bukan sekadar membawa sebuah konsert ke pentas, tetapi menjadi sebahagian daripada sebuah perjalanan penuh makna untuk meraikan seorang legenda yang telah memberi begitu banyak kepada industri muzik Malaysia. Kami amat tersentuh dan berbesar hati dapat berkongsi malam yang begitu indah ini bersama Dato’ Aishah, seluruh pasukan produksi, para pemuzik serta para peminat yang hadir dengan penuh kasih sayang. Sambutan yang diberikan malam ini benar-benar membuktikan betapa dalamnya cinta dan penghargaan terhadap legasi Dato’ Aishah, dan kami percaya kenangan ini akan terus hidup dalam hati semua yang hadir untuk tahun-tahun mendatang.”





