MIAMI – Brazil mengesahkan status selaku juara Kumpulan C selepas garang membenam pasukan Scotland 3-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia 2026, sekali gus melangkah bergaya ke pusingan kalah mati dengan rekod tanpa kalah.
Vinicius Junior muncul wira skuad Selecao apabila meledak dua gol, manakala Matheus Cunha melengkapkan kemenangan bergaya Brazil yang turut menyaksikan Neymar membuat penampilan sulungnya pada kejohanan kali ini.
Pada aksi di Stadium Miami itu, Brazil hanya memerlukan tujuh minit untuk membuka tirai jaringan selepas penyerang Real Madrid, Vinicius memanfaatkan kesilapan pertahanan Scotland dan meletakkan Brazil di depan 1-0 pada separuh masa pertama.
Brazil terus mengukuhkan cengkaman apabila Vinicius terus menambah derita Scotland apabila menambah gol kedua pada masa kecederaan babak pertama menerusi tandukan hasil hantaran Gabriel untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Skuad kendalian Carlo Ancelotti tidak memperlahankan rentak perlawanan pada babak kedua apabila Cunha meledak gol ketiga pada minit ke-60 selepas menerima hantaran menarik Bruno Guimaraes.

Scotland berpeluang meraih gol sagu hati apabila memperoleh sepakan percuma susulan terjahan keras Danilo ke atas Kieran Tierney, namun percubaan Lewis Ferguson berjaya ditepis Alisson.
Sorakan paling gemuruh hadir pada minit ke-75 apabila Neymar dimasukkan menggantikan Cunha, sekali gus menandakan penampilan pertamanya bersama Brazil sejak 2023.
Penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil itu hampir mencipta impak segera, manakala Vinicius turut berpeluang melengkapkan hatrik pada minit ke-79, namun rembatan rendahnya berjaya diselamatkan Gunn.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan C, Maghribi bangkit menewaskan Haiti 4-2, namun keputusan itu tidak mengubah kedudukan apabila Brazil kekal di tangga teratas kumpulan menerusi kelebihan perbezaan jaringan sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 terbaik.
Sumber – KOSMO! ONLINE





